Monday 19 December 2011

Women & Modesty


"Tutup aurat, tutup aurat 
Jangan Bagi dilihat,
Maruah tinggi peribadi mulia,
Itulah tuntutan agama.."


Women & Modesty 

Semasa di sekolah PASTI dan SRI, saya telah menghafal satu nasyid yang masih saya ingat salah satu rangkap liriknya hingga kini. Nasyid itu menjadi satu motivasi bagi saya untuk kekal bertudung semasa kecil sekalipun sewaktu matahari terik memancar di tengahari. Walaupun ketika itu saya masih tidak memahami apa itu hukum tetapi saya mengetahui kepentingannya melalui nilai yang diajarkan.

Rangkap yang sering saya ulang-ulang semasa kecil adalah:

"Tutup aurat, tutup aurat 
Jangan Bagi dilihat,
Maruah tinggi peribadi mulia,
Itulah tuntutan agama.."

Nice right? Mampu menusuk kalbu kanak-kanak ribena. :) 

Saya lupa tajuknya dan tidak pasti adakah nasyid ini masih popular di kalangan kanak-kanak masa kini (^_^).  Apa yang ingin saya katakan ialah, nasyid tersebut merupakan salah satu cara didikan yang saya terima semasa kecil. Nasyid yang mempunyai motif dan seni pendidikan yang sangat cantik sehingga mampu difahami oleh kanak-kanak ribena seperti saya waktu itu.

Kemodenan Yang Membutakan 

Alhamdulillah kita berada di negara Islam yang memberi kebebasan kepada rakyat mengamalkan agama yang dianuti tanpa sebarang diskriminasi dan ancaman. Bebas. Tidak perlu takut untuk bertudung di negara sendiri. 

Setiap hari kita ke tempat kerja, shopping complex, restoran, taman rekreasi, sekolah, universiti, stesen bas dan lain-lain lagi, kita dapat menemui, melihat dan memandang kepada ramainya orang bertudung dengan pelbagai fesyen dan rekaan terkini. Kenapa mereka bertudung? Jawapannya tentu mudah dan tepat, kerana perintah Allah s.w.t.

Hukum berhijab adalah ma'ruf dan diketahui ramai bahawa ia adalah wajib. Sekiranya seorang muslimah tidak memakai tudung kerana ingkar dan tidak mempercayai kewajipan terhadap perintah tersebut seperti menolak ayat Al-Quran yang memerintahkan wanita menutup aurat, maka batallah syahadahnya. Hendaklah dia mengulangi semula syahadahnya dan bertaubat dari penolakkannya terhadap Al-Quran.

Manakala orang yang meninggalkannya kerana mengikut arus perkembangan 'semasa' atau mengikut trend masyarakat yang telah rosak namun masih percaya kepada kewajipan menutup aurat, maka perbuatannya itu merupakan satu maksiat dan dosa di sisi Allah s.w.t.

Di dalam negara Islam seperti Malaysia, hukum menutup aurat tidak boleh tidak diketahui oleh mana-mana individu. Kerajaan mestilah memberi pendidikan kepada masyarakat tidak kira mereka tinggal di darat atau di lautan, di rimba atau di bandaraya, manakala para pendakwah dari pelbagai aliran jemaah Islam mesti menjalankan tugas seorang daie dan menjelaskan hukum-hukum yang berkaitan. 

Individu yang tidak mengetahui hukum tersebut pula hendaklah berusaha mempelajarinya kerana ia telah dilaksanakan oleh mejoriti wanita Islam di Malaysia. Muslimah bertudung boleh ditemui di mana-mana bahkan di dada-dada akhbar, majalah, komik, television, internet dan pelbagai lagi media massa yang semakin canggih dari hari ke hari. Namun malangnya, kecanggihan ini semakin membutakan masyarakat terhadap hukum Islam bukan menjadikan mereka lebih celik dan terbuka untuk menerima hukum. 

Maka dengan berleluasanya muslimah yang menutup aurat, ceramah dan dakwah yang dilaksanakan oleh para daie menjadikan alasan tidak mengetahui hukum menutup aurat adalah tidak boleh diterima sama sekali.

Formula Menutup Aurat 

Memandangkan bidang peragaan semakin berkembang pesat, pelbagai jenis kain tudung diperkenalkan dan pelbagai rekaan serta bentuk mengaburi mata para wanita sehingga kabur terhadap hukum dan tatacara pemakaian yang betul. Maka kita selaku muslimat perlu la mengetahui dengan terang tanpa perlu disuluh lagi cara-cara memilih pakaian di kedai-kedai fesyen. 

Seringkali kita keliru, terkeliru, dikeliru dan mengerlirukan diri sendiri dan orang lain tentang cara menutup aurat yang sempurna. Tudung yang menepati tuntutan syarak hendaklah memiliki item-item berikut:

  1. Tidak JARANG
  2. Tidak KETAT
  3. Menutupi dada

Hanya tiga item ini sahaja yang perlu diingat oleh wanita saat membeli tudung di kedai-kedai sama ada di tepi jalan ataupun di butik. Tak perlu susah-susah tanya penceramah lepas ni hukum memakai tudung shawl, tudung bawal macam mana pula, tudung siput ke tudung nasi lemak ke.. semua sama je. Asasnya tak jarang, tak ketat dan menutupi dada. Kalau jenis telinga terkeluar, jambul tersembul, leher terdedah tu lagi la kan.. tak perlu tengok pada tiga item ni dah boleh rijek terus. 

Kalau tudung jenis labuh sampai lutut tapi jarang tetap tak boleh, tudung diperbuat dari kain kanvas sekalipun tetapi menayangkan dada tetap salah, tudung berkain tebal serta labuh sampai kaki tapi tercekik tekak dan menampakkan bentuk kepala dan subang teliga juga tidak menepati syarak. 

Diulangi sekali lagi, asasnya hanya tiga: tidak jarang, tidak ketat serta melepasi dada. Pakai la kain selimut atau kain langsir sekali pun asal menepati ketiga-tiga syarat di atas maka ia bertepatan dengan tuntutan dan perintah Allah s.w.t.

Apa Yang Perlu Ditutup? 

Apa? Tutup rambut sahaja ke? Tutup dada sahaja ke? Tutup kepala sahaja? Atau tutup muka?

Semua perlu ditutup kecuali tapak tangan dan muka menurut sebahagian ulama', ada pun sebahagian yang lain mewajibkan para muslimah menutup wajahnya. 

Tidak perlu dibahaskan perkara khilaf di sini kerana fokus utama adalah mewajibkan para wanita menutup aurat dengan betul. Dr. Yusuf Al-Qardawi pernah berkata: "mengapa kita perlu menyuruh muslimat menutup muka (kerana ia adalah khilaf) sedangkan masih ramai yang tidak menutup aurat di luar sana."

Jadi tidak perlulah kita bersungguh meminta akhawat memakai niqab sekiranya di tempat tersebut masih ada yang tidak menutup aurat dengan sempurna. Bersungguh-sungguhlah dalam mencegah perkara yang nyata haram daripada menyuruh yang khilaf.

Bertegas Kepada Mad'u Atau Berlembut? Menyindir Atau Memerli?  :)

Hukum yang jelas tentang kewajipan bertudung dan menutup anggota badan dari tededah tidak perlu dipertikaikan lagi. Saudari-saudari seIslam yang menghuni bumi Eropah begitu berusaha memakai tudung di tempat-tempat awam atau pejabat-pejabat kerajaan walaupun dihalang dan diancam sehingga ada yang terbunuh kerananya. Krisis Islamophobia yang melanda menyebabkan keadaan semakin sukar, namun mereka tidak sesekali meninggalkan perintah tersebut. Malangnya apa yang berlaku di Malaysia sebuah negara Islam yang aman makmur adalah sebaliknya.

Situasi ini amat memilukan. Sedarkah betapa lemahnya iman masyarakat yang hidup senang-lenang di dalam negara yang aman damai? Lebih malang apabila dinasihati makin melatah dan melenting. Mereka rasa diperli oleh daie, tidak boleh ke disindir sedangkan hukum mengenainya sangat jelas?

Rasulullah s.a.w sebenarnya turut menggunakan kaedah menyindir dalam menegur para sahabat. Antara hadis yang masyhur dan menunjukkan sindiran yang jelas dari Nabi s.a.w adalah hadis berkaitan perasaan malu.


عن أبي مسعود رضي الله عنه  قال : قال رسول الله صلى الله

 عليه وسلم : ( إن مما أدرك الناس من كلام النبوة الأولى: إذا 

لمتستحي فاصنع ما شئت ) رواه البخاري

Maksudnya: Daripada Abi Mas'ud Radiallahu 'anhu beliau pernah berkata: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: (Sesungguhnya di antara kata-kata yang terkenal daripada nabi-nabi terdahulu adalah: Sekiranya kamu tidak merasa malu, maka buatlah apa yang kamu mahu!) Riwayat: Bukhari.

Terasa tak? Kalau hang tak malu, hang buat la apa yang hang suka! Mesti rasa panas kan bila orang kata macam tu kat kita? Maka jelas di sini bahawa Nabi s.a.w tidak hanya berlembut di dalam menegur para sahabat, ada aspek sindiran yang diselitkan agar perkataan tersebut diingati oleh umatnya.

Apa yang saya perhatikan, semakin kita berlembut atau berhikmah makin berlambak fesyen tudung yang tak menepati syarak seperti gajet yang pesat berkembang dipasaran.

Jadi tak perlulah kita pula memarahi orang yang berdakwah dengan cara sindiran kerana dia telah menunaikan tuntutan Nabi s.a.w yang memerintahkan kita menyampaikan dakwah walau dengan satu ayat. Adapun sesiapa yang ingin berlembut dan mendekati mad'u dengan cara itu teruskanlah. 

Sesungguhnya kepelbagaian metode dalam berdakwah menunjukkan kesenian Islam dalam mengurus umat yang pelbagai ragam dan rencah. Iman mereka berbeza antara satu sama lain manakala nafsu juga begitu ada yang kuat dan ada pula yang sebaliknya. Maka berdakwah dengan pelbagai cara dapat membantu menyedarkan masyarakat kerana mungkin sebahagian mereka hanya dengan cara kasar sahaja dapat menimbulkan rasa bersalah dan mahu bertaubat.

Namun sekiranya kita inginkan nasihat yang lembut dan berkesan di hati, bacalah Al-Quran dan renungi makna dan tafsirnya. Allah sahaja yang Maha Lembut terhadap hamba-hambanya. Al-Quran mudah di dapati di mana-mana dan tafsirnya juga telah banyak diterjemahkan ke dalam bahasa melayu. Anda pasti terpikat dengan metafora dan susunan ayatnya.

Biarlah manusia yang mengkasari kita, jangan sampai Allah yang berkasar atas kedegilan kita. Moga dijauhi dari kemurkaanNya.

Check & Balance 

Dua perkataan di atas perlu dilakukan oleh semua tidak kira sama ada dia pendakwah atau orang yang menjadi sasaran dakwah. Semak dan imbang atau perkataan yang lebih mudah difahami ialah muhasabah diri.

Para daie hendaklah mengikhlaskan niat dalam berdakwah dan meyakini bahawa hanya Allah s.w.t sahaja yang mampu memberi serta menarik hidayah daripada seseorang. Buangkan sifat ujub dan takabbur pada diri. Semoga dengan keikhlasan kita dalam usaha dakwah memudahkan lagi hidayah yang ingin Allah berikan kepada para mad'u. 

Akhlak juga memainkan peranan dalam kerja-kerja dakwah. Perhatikan sejarah umat terdahulu, ramai manusia yang berminat dan berbondong-bondong memeluk agama Islam adalah kerana tertarik dengan sifat dan akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat radiallahu 'anhum. Adapun pada hari ini, ramai yang keluar dan menjauhkan diri dari Islam kerana sifat dan akhlak yang ditunjukkan oleh para penganutnya yang sangat jauh dari realiti sifat-sifat mukmin yang disebtkan di dalam Al-Quran.

Perhatikan pula mengapa kita amat sukar mendengar nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan oleh orang sekeliling. Kenapa kita sentiasa rasa tidak selesa dan kepanasan apabila ditegur? Kenapa apabila kita diberi tunjuk ajar terlalu mudah lidah menuturkan kata-kata kesat memarahi orang yang berniat baik itu? Renungkan sejenak.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah membuat analogi, tapak kaki yang lembut apabila terkena duri ia mudah terluka akan tetapi tapak kaki yang keras tidak akan merasa sakit apabila terpijak duri. Begitu juga hati, apabila ia telah keras dan mati maka nasihat yang baik tidak lagi dirasai olehnya. 

Maka hati itu perlu dijaga agar tidak mati dengan memperbanyakkan zikrullah, istighfar dan merenung ciptaan Allah pada diri dan alam sekeliling. 

Ubat kepada hati yang sakit pula ialah membaca Al-Quran dan merenung maknanya, berpuasa, berkumpul dengan orang-orang soleh, mengerjakan solat di waktu malam dan berzikir pada malam hari.

Renungi & Insafi

Apakah pengajaran yang dapat diambil dari semua kemungkaran dan maksiat yang semakin berleluasa ini? Pernahkah anda terfikir puncanya? Ya saya yakin semua pernah memikirkannya. Di sini saya ingin memberi satu sahaja kesimpulan daripada apa yang kita perbincangkan.

Al-Quran telah ditinggalkan oleh umat Islam. Ia bukan bermaksud Al-Quran itu tidak dibawa ke mana-mana, tetapi maksud ditinggalkan ini adalah begitu luas iaitu:
  1. Umat Islam tidak membaca Al-Quran apatah lagi menghafalnya.
  2. Al-Quran tidak dipelajari dan dikaji hukum-hukumnya, gaya bahasa, sejarah umat terdahulu dan lain-lain lagi.
  3. Umat Islam membacanya tetapi tidak merenung makna dan tafsirnya.
  4. Umat Islam merenung makna dan tafsirnya akan tetapi tidak mengaplikasikannya.
  5. Umat Islam mengaplikasikannya tetapi tidak ikhlas dalam beramal.

Abul Hasan Ali An-Nadawi pernah menyedarkan kita tentang satu perkara, apabila kita perhatikan kekejaman dan kejahatan orang-orang Yahudi dan Nasrani yang dilakukan terhadap umat Islam hari ini adalah kerana ciri-ciri mereka sangat bertepatan dengan apa yang disebut di dalam Al-Quran, adapun penghinaan yang diterima oleh orang Islam adalah kerana tidak menepati realiti sebenar sifat-sifat golongan mukmin di dalam Al-Quran. 

Akhir kalam, di sini saya sertakan beberapa ayat Al-Quran yang menjadi dalil kepada kewajipan menutup aurat dan cara-caranya:
  1. Surah Al-Azhab ayat 59.
  2. Surah An-Nisa' ayat 31.

Adapun ayat-ayat lain yang berkaitan dengan hijab disebut di dalam surah Al-Ahzab ayat 33 dan 53.

Berusalah belajar dan mendalami ayat-ayat yang dinyatakan di atas supaya kita tidak mudah mengikut arus modenisasi yang tidak mengenal syariat dan peraturan Allah s.w.t.

Semoga Allah memberikan hidayah kepada umat Islam dan meneguhkan kita di atas jalanNya di setiap waktu dan tempat. Walillahil 'amru jami'aa..

wabillahi taufiq wal hidayah.






Posted on by QurrataQalbiey | No comments

0 comments:

Post a Comment