Monday 2 January 2012

Berpolitik Cara Mahasiswa Bukan Cara Ahli Politik ~ Tribute To Aktivis Kampus

01 Januari 2012 ~

"Hey! Pegang elok-elok bendera tu! Hormat la sikit!" satu suara menengking dari arah belakang barisan.

"Maaf tuan.." peserta yang ditugaskan untuk memasang bendera memohon maaf atas kecuaiannya sehingga bendera Malaysia terjatuh dari pegangan.

Satu fenomena yang saya alami semasa mengikuti Kursus Biro Tata Negara (BTN) di Terengganu sebelum terbang ke Jordan.


Seringkali kita melihat bendera sesebuah negara atau bangsa dibakar atau dipijak-pijak dalam perhimpunan-perhimpunan bagi mempamerkan protes, kemarahan dan kebencian sesuatu masyarakat terhadap negaranya atau sesuatu bangsa terhadap bangsa lain. Bendera umpama maruah, apabila ia dibakar atau dipijak maka perlakuan itu seolah-olah membakar atau memijak maruah bangsa dan negara. Apakah rasanya jika maruah anda dipijak-pijak? ~ Macam patriotik sangat la pulak.

Kisah Adam Adli yang menurunkan bendera Perdana Menteri Malaysia mengingatkan saya kepada kisah bendera di BTN dua tahun lalu. Kemarahan yang dilemparkan kepada beliau tidak begitu memeranjatkan saya kerana mereka yang mempunyai semangat cintakan UMNO sememangnya akan bertindak begitu. Namun demikian apa yang menjadi perhatian adalah, remaja ini diancam dan diugut bunuh! Adakah mereka akan menghantar C4 kepada Adam Adli hanya kerana beliau menurunkan bendera tak sampai 5 minit pun. Sudah banyak kali penjelasan dibuat, mereka harus menilai simbolik itu bukan menilai keterlanjuran Adam Adli dalam bertindak.

Terlajak kata tidak boleh diundur, terlajak turunkan bendera naikkan la semula! ~ Apa yang susah-susah sampai nak bunuh anak orang?

Sebenarnya bukan kes bendera yang nak dikecohkan di sini, dah ramai yang mengkecoh dan membikin heboh tentang cerita ni. Respon-respon sokongan dan cercaan telah diterima oleh Adam Adli. Cerita ni pun dah lama dulu dah. Kalau Adam Adli bukan muda remaja, saya percaya bukan begitu tindakannya. ~ ceh macam perasan tua la pulak.

Alam remaja adalah alam belajar dan membuat kesilapan, ia tidak pelik. Apa yang menghairankan adalah orang tua yang kebudak-budakan dalam menangani masalah remaja.

2012 ~ FENOMENA SAFWAN ANANG


Malam 1 Januari disambut meriah di beberapa negeri dengan pengisian ilmiah, zikir munajat, lantunan mahabbah, forum, ceramah dan bermacam-macam lagi transformasi ke arah membentuk jiwa manusiawi. Saya sendiri menikmati lantunan mahabbah buat Baginda Nabi s.a.w secara live di laman Darul Hadits bersama seribu lebih lagi sahabat dari seluruh  negara. Tak sedar rupanya ada yang disambut dengan kejam pada malam manusia membina semangat baru untuk hari baru pada tahun baru Masihi.

Suka saya melihat semangat tahun baru mahasiswa/wi ini, mereka mempunyai tuntutan yang jelas untuk direalisasikan oleh kerajaan Malaysia. Azam mereka bergema pada malam tahun baru 2012. Menuntut pembahruan, menuntut keadilan, menuntut kebebasan buat kesekian kali. Tapi sayang malam tahun baru ini bertukar tragedi dan mencetus fenomena luar biasa di FB setanding fenomena Zizan dan Ust Azhar Idrus bermain gitar. Golongan salafi pun tidak ketinggalan dalam memperkatakan tentang kedua-dua isu ini yang kelihatan kontra pada pandangan mereka.

WHO IS THE BANDIT?


Kata polis "Mahasiswa tersebut mencederakan diri sendiri"

Kita lihat mahasiswa itu dikerumuni polis dan dibelasah.

Nak percaya yang didengar atau yang dilihat? Mana bukti yang lebih kuat?

Malangnya ramai di luar sana yang tidak nampak, mereka hanya mendengar dan melihat pada kaca-kaca yang menyihir pandangan dari memandang kebenaran. Kebenaran yang bersifat telus telah dituras manakala kebatilan yang tersisa dihidang dan ditelan mentah-mentah oleh masyarakat. Kebutaan dari melihat kebenaran inilah yang menyebabkan mereka menyokong kebatilan sekeras-kerasnya. Maka, apa yang nak dihairankan jika mereka menjadi hamba kepada manusia?

Kasihan itu semestinya. Kasihan kita kepada mereka hendaklah kasihan yang sesungguhnya. Kasihan yang melahirkan rasa cinta sesama manusia. Kasihan yang menggerakkan kita untuk bertindak dengan tindakan yang lebih manusiawi. Kasihan yang bersifat adil. Kasihan yang tidak menghukum sewenang-wenangnya. Agar rasa itu melahirkan pandangan kasihan yang melebarkan kasih sayang bukan kebencian dan ketaksuban.

Jika anda bertemu manusia yang berada dalam kegelapan, menikmati hidup dalam gelap, apa yang anda akan lakukan? Pasti anda mahu dia keluar dari kegelapan tersebut supaya dia bisa melihat cahaya dan menikmati kehangantannya bukan?

Saya punya satu nasihat kepada anda. Jika anda melihat manusia yang sedang menikmati hidup dalam kegelapan bahkan merasa begitu bahagia sekali berada di dalamnya, jangan sesekali anda cuba menariknya keluar dari kegelapan tersebut. Anda akan lelah, percayalah. Dia telah begitu terpesona dengan kegelapan, paksaan anda untuk menariknya keluar hanya akan mengundang penat atau mungkin akhirnya anda sendiri yang akan duduk di dalam gelap bersamanya.

Cara terbaik untuk menghadapinya adalah berikan dia cahaya, lilin, api, lampu, atau selainnya. Nescaya dia akan keluar dari kegelapan itu menggunakan cahaya yang anda beri tanpa bantuan anda sedikit pun.

Menghadapi manusia bukanlah menghadapi batang tubuhnya, tetapi menghadapi cara berfikir dan ideologinya. Oleh itu menghadapi kegelapan adalah dengan cahaya bukan dengan kegelapan yang sama.

Apa pun yang menimpa mahasiswa pada malam 1 Januari adalah sesuatu yang mendukacitakan. Malah bertambah dukacita apabila cerita sebenar diputar belitkan.

POLITIK DUKACITA


Inilah realiti politik di Malaysia. Saya jarang-jarang memberi komentar berkaitan isu politik tanah air, sekadar mengambil peduli tanpa apa-apa respon. Saat meneliti wajah politik hanya akan menimbulkan perasaan yang menyakitkan hati, menyempitkan dada, menyampahkan sukma. Pun begitu saya tidak sesekali menyalahkan politik. Menjadi ahli penal bersama Ust Anhar Opir satu ketika dulu mencerahkan pandangan saya terhadap isu politik tanah air malah melonggarkan sudut pandang yang kadangkala membuatkan saya bertindak menyisih diri dari arena ini.

Sememangnya menyalahkan politik adalah satu tindakan yang tidak bijak. Kebanyakan masyarakat yang menjauhkan diri dari politik adalah disebabkan cara pandang yang salah. Politik kotor hanyalah sebagai satu metode musuh menjatuhkan lawannya setelah tidak ada lagi isu yang boleh dipermainkan. Ia hanyalah salah satu cara yang paling jijik dalam menjatuhkan seseorang individu berpengaruh. Tetapi sebenarnya, politik seperti ini apabila dimainkan tanpa bukti kukuh dan fakta yang tepat hanya akan menjadi tarikan dan meraih kasihan belas masyarakat lebih berlipat kali ganda kepada mangsa. Maka siapa sebenarnya yang untung?

Semasa di kampus dahulu, saya juga berpolitik. Berpolitik cara mahasiswa bukan berpolitik cara ahli politik. Berpolitik di medan politik sebenar dengan cara yang selamat tanpa ancaman. Bekerja membantu ahli-ahli politik tanpa ugutan. Memang sangat menyeronokkan. Tekanan itu tetap ada tetapi tidaklah sampai menggadai prinsip seorang mahasiswa. Tidak perlu menggadai akademik, malah menjadi satu punca dan alasan untuk lebih berjaya dalam pengajian. Ahli politik sudah ramai, jadi untuk menjadi ahli politik sebenar tunggulah sehingga tamat belajar.

Ketika AUKU masih berkuasa penuh, saya selaku salah seorang pemimpin mahasiswa di kampus pada ketika itu juga tidak banyak menyentuh hal-hal politik dalam ucapan (saya tidak bercakap, tapi bergerak dengan penuh waspada) bukan kerana takutkan AUKU tapi melihat kepada maslahah dan awlawiyat yang lebih utama. Apabila kita banyak bersuara daripada bertindak maka kita akan menghadapi sekatan bersuara dan bertindak sekaligus. Ini amat merugikan.

Kejadian yang berlaku pada malam 1 Januari hendaklah diambil iktibar oleh semua mahasiswa dan aktivis kampus. Saya yakin polis tidak akan bertindak sekiranya kita tidak berdegil. Menuntut hak dan menyuarakan hasrat murni amat perlu tetapi mengikut arahan juga penting bagi menjamin keselamatan diri dan rakan-rakan. Kesal saya bukan pada pihak polis sahaja, tetapi kesal juga terhadap mahasiswa yang bakal menghadapi peperiksaan akhir pada minggu ini.

MEMBENTUK JIWA MANUSIAWI


Telah saya katakan, menghadapi manusia bukanlah menghadapi batang tubuhnya tetapi mengahadapi ideologi dan cara berfikirnya. Lalu bagaimana mahu menghadapi ideologinya? Bagaimana mahu mempengaruhi cara berfikirnya? Jawapannya adalah mendepani ideologi dengan ideologi.

Ideologi apa yang harus kita gunakan? Ideologi yang mesti digunakan adalah ideologi berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah. Ideologi berfikrah Islam. Bahkan ideologi itu adalah ajaran Islam itu sendiri tiada lainnya.

Bagaimana mahu membina ideologi? Belajar, membaca, mengkaji, melihat, mendengar dan segala proses pembelajaran.

Sekiranya anda seorang mahasiswa inilah masanya anda membina ideologi. Ideologi bukan hanya dibina melalui pengajian di dalam kelas tetapi hendaklah disenergikan dengan realiti semasa dengan cara berpartisipasi dalam kegiatan persatuan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Tetapi ingat, ideologi juga tidak hanya ditumbuhkan dengan melibatkan diri dalam persatuan dan jemaah semata-mata, bahkan akademik sangat penting dalam memandu ideologi agar tidak lari dari asas dan landasan syarak. Kerana ilmu itu adalah asas dan akar kepada ideologi. Sekiranya ideologi itu diambil dari dahannya sahaja maka ia akan cepat gugur dan rapuh kerana tiada akar yang kukuh.

Amat dikesali sekiranya anda membina ideologi melalui jemaah dan persatuan tetapi dalam masa yang sama anda tidak serius dalam pelajaran. Anda ingin menjadi pendakwah, pendidik, ahli politik dan semuanya bukan berlandaskan kemahiran dan pengalaman semata-mata, tetapi ilmu dan akademik yang menjadi pertahanan dalam menegakkan fikrah dan ideologi anda.

Jadi sempena peperiksaan yang anda sedang hadapi, lihatlah pada resultnya nanti sejauh mana anda serius dalam pelajaran dalam masa yang sama anda berjaya dalam berpersatuan dan demonstrasi jalanan. Tahniah saya ucapkan. Kalau anda gagal dalam berpersatuan saya maafkan tetapi sekiranya anda gagal dalam pelajaran, sila berhenti jadi mahasiswa dan tawarkan diri menjadi calon pada pilihanraya akan datang. ~ peace!

Memilih untuk menjadi aktivis mahasiswa harus berjaya pada kedua-duanya. Anda yang memilih anda juga harus mencari jalan bagaimana mahu menguasai dua perkara dalam masa yang sama. Apa pun tahniah atas sikap keprihatinan anda dalam memikul tanggungjawab selaku seorang pendakwah dan mahasiswa. Semoga Allah memberi pertolongan atas keikhlasan anda menegakkan Islam dalam masyarakat kampus.

TRANSFORMASI RABBANI


Seringkali manusia menganggap tahun baru adalah tahun perubahan, berubah azam, semangat, cita-cita, cara hidup dan tidak kurang pula yang mengubah i'tiqad. Nauzubillah. Semua perubahan yang dibuat adalah perubahan yang menuju ke arah yang lebih baik, perubahan ke arah kemantapan hidup dan kebahagiaan yang hakiki - tidak termasuk mereka yang berubah dari disuluh cahaya kepada diselubungi kegelapan.

Maka setiap perubahan yang dibuat hendaklah satu perubahan yang mendekatkan diri kepada Allah, perubahan yang mempunyai nilai dan semangat rabbani. Iaitu semangat yang berhubung langsung kepada pencipta.

Kepada mahasiswa dan aktivis kampus, binalah azam untuk berjaya pada kedua medan dan bidang. Azam harus disertai dengan semangat, tindakan, doa dan tawakkal. Pencipta adalah tempat kembali. Bekerja sehabis lelah, letakkan pergantungan pada Ilahi. Belajar sehabis jemu, harapkan ilmu serta furqan dari Yang Satu.

Bercakap pun tak guna kerana bertindak itu yang utama. So sama-samalah kita (^_^)v

Tahniah kepada aktivis yang berjaya melantangkan suara pada malam 1 Januari, takziah juga kepada yang cedera. Buat post mortem semula semoga tidak berulang lagi.

Dua hari saya mengambil masa menulis tajuk ini, meneliti isu agar dapat memberikan sesuatu pada kalian. Semoga bermanfaat.

Siiru 'ala barakatillah.
02 Januari 2012




Posted on by QurrataQalbiey | 4 comments

4 comments:

  1. teruskan menulis.
    saya juga dapat sesuatu.
    inshaallah terbaik senpai!!

    ReplyDelete
  2. jazakillah miEha.. gud luck for exam :)

    ReplyDelete
  3. I'm proud 0f you..
    keep it up f0r your super duper mind talking..^^,
    allahyusahhil umureek..(--,)

    ReplyDelete
  4. Izzah thanks 4 ur support..
    & u too dear.. teruskan menulis, ada sesuatu yang Izzah miliki tapi saya tidak (^_^)
    wa enti aidhan, Allahu yusahhil umuurek v(^_~)

    ReplyDelete