Sunday 8 April 2012

2 Gigih & Kisah Adam a.s

resepi kejayaan


Satu hari saya dikehendaki memasuki kelas 2 Gigih bagi menggantikan guru Bahasa Inggeris yang pergi menunaikan Umrah. Apabila mendapat kelas ganti saya lebih suka bercerita berbanding mengajarkan subjek yang sepatutnya dipelajari oleh murid-murid pada waktu tersebut. Peluang yang ada saya gunakan sebaiknya untuk menyampaikan nasihat yang berguna buat mereka apatah lagi jika pelajar-pelajar kelas tersebut tidak berguru dengan saya.

Ini adalah kali ke dua saya masuk ke kelas 2 Gigih, sebelum ini pernah sekali dan saya merasa tersangat-sangat letih apabila berhadapan dengan mereka. Ketika mendapat kertas relief tersebut saya hanya tersenyum, apakah strategi yang perlu saya gunakan kali ini? Mati akal. Pada Allah sahaja saya bertawakal.

Kaki melangkah ke kelas dengan hati yang tak putus berdoa..

ربنا أفرغ علينا صبرا

Ya Tuhan kami, kurniakanlah kami kesabaran..

Sesampainya di kelas, pelajar-pelajar berada di tempat duduk masing. Pelik. Semua bagai keletihan, sebelum ini macam tak pernah letih.. berjalan, bercakap, bermain, mengganggu rakan, nak pergi ke tandas dan macam-macam lagi aktiviti mereka sekalipun guru tercegat di hadapan.

Saya memberi salam dan memulakan sesi dengan bacaan doa secara beramai-ramai. Tiba-tiba saya terpandang seseorang yang amat saya kenali, kenapa ada di kelas ini?

“Danish, kamu Danish ke?” saya bertanya untuk kepastian. Si kecil itu tersenyum-senyum memandang saya.

“Ya cikgu, dia kena masuk kelas ni sebab tak pandai membaca dan menulis.” Sampuk rakan-rakan lain. Saya terdiam seketika.

Danish anak murid saya semasa di kelas 2 Dedikasi. Difahamkan dia telah diturunkan kelas kerana tidak tahu membaca dan menulis. Hari terakhir saya mengajar dia subjek Al-Quran (Pendidikan Islam) adalah sangat berbeza dengan hari-hari sebelumnya. Hari terakhir itu dia sangat memberi tumpuan, langsung tidak menghiraukan teman-teman lain yang banyak berceloteh, tugasnya cepat-cepat disiapkan, lembaran kerja yang saya beri pun dia berusaha menyudahkannya sebelum sesi P&P tamat. Tapi hari ini saya melihat dia di kelas 2 Gigih, ini bermakna dia akan belajar dengan guru baru bukan lagi dengan saya.

Saya cuba meredakan keadaan. Kata-kata negatif itu ingin saya gantikan dengan semangat agar dia dan rakan-rakan menyedari bahawa mereka ditempatkan di kelas tersebut bukan kerana tidak pandai, tetapi harus berusaha dengan lebih gigih.

“Danish bukan tak pandai, Danish pandai.. semua orang dalam kelas ni pun pandai.. tak ada orang yang tak pandai, cuma kena rajin membaca dan menulis..” mereka semua diam memerhatikan saya.

“Nak dengar cerita tak?”

“Nak..” mereka menyahut beramai-ramai.

“Ok hari ni cikgu nak bercerita tentang Nabi Adam a.s.”

Percaya Kepada Diri

Orang yang berjaya adalah orang yang percaya bahawa dia mampu mengecap kejayaan yang diidamkan. Jika orang-orang di sekeliling turut memberi kepercayaan kepadanya, ini akan menambahkan lagi sikap percaya pada diri dan memudahkan dia meredah segala macam mehnah sepanjang jalan untuk menggapai kejayaan tersebut.

Para pelajar yang ditempatkan di kelas-kelas hujung kebiasaannya mempercayai bahawa mereka adalah golongan yang tidak pandai berbanding rakan-rakan lain yang berada di darjat  yang lebih tinggi. Persepsi yang telah tertanam di dalam diri mendorong mereka menjadi pelajar yang malas berusaha, berasa cukup dengan tahap kepandaian yang mereka miliki, tidak memiliki misi dan visi hidup yang jelas, negatif, pasif, pesimis dan entah apa-apa lagi yang sewaktu dengannya.

Ini jelas melalui beberapa dialog antara saya dan murid-murid di beberapa kelas ‘hujung’.

“Apa cita-cita kamu?”

“Nak jadi ultraman. Nak lawan orang jahat.”

(“,) ??

“Apa cita-cita kamu?”

“Nak kerja di MPJB (Majlis Perbandaran), nak jaga kebersihan.”

Ya, menolong orang yang dizalimi dan menentang penzalim adalah kerja yang mulia. Menjaga kebersihan juga adalah satu kerja yang melengkapkan sebahagian iman. Mungkin kerana terpegun dengan cita-cita mereka saya lupa untuk menambahkan keyakinan ke dalam diri mereka bahawa mereka mampu berjaya lebih dari apa yang mereka impikan.

“Bagus cita-cita kamu tu. Kalau macam tu jadilah Ketua Polis Negara yang adil, saksama dan menentang kezaliman.”

“Bagus cita-cita kamu itu. Kalau macam tu jadilah Pengarah Majlis Perbandaran Satu Malaysia.” (ada ke jawatan ni?)

Tapi dialog-dialog positif tersebut hanyalah sekadar angan-angan setelah disedarkan oleh seorang sahabat peranan sebenar saya selaku seorang guru.

‘Ibrah Ayat 30 -37 Surah Al-Baqarah

Kembali kepada kisah Nabi Adam a.s yang ingin saya ceritakan kepada para pelajar. Saya mulakan kisah dengan bertanya kepada mereka nama-nama Nabi, bilangan yang wajib dipercayai, Nabi pertama dan yang terakhir serta mengajak mereka menyanyikan nasyid 25 Rasul yang dipopularkan oleh kumpulan Raihan. Malangnya saya seorang sahaja yang menyanyi, yang lain hanya mendengar dengan penuh khusyuk dan minat. Macam artis pula rasanya. Apa maknanya tu sahabat-sahabat?

Maknanya mereka tak hafal nama-nama para Rasul.. yang mereka ingat hanyalah nama Nabi akhir zaman sallallahu‘alaihi wasallam. Itu pun mungkin kerana setiap tahun diadakan sesi berarak sambil berselawat. ~ huhu (n_n)

Saya bercerita secara santai, saya tidak menyebutkan ayat-ayat berkenaan seperti di bawah ini agar mereka lebih mudah menghadamkan kisah tersebut. Saya menceritakan kisah tersebut melalui kaedah kefahaman bukan maksud secara satu persatu seperti di dalam tafsir Al-Quran.

Allah s.w.t berfirman:

وإذ قال ربك للملائكة إني جاعل في الأرض خليفة قالوا أتجعل فيها من يفسد فيها ويسفك الدماء ونحن نسبح بحمدك ونقدس لك قال إني أعلم ما لا تعلمون

“Satu ketika, Allah s.w.t berfirman kepada para malaikat “Aku ingin menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi.”

Apa itu khalifah? Khalifah adalah pemimpin yang memakmurkan bumi. Menjadikan bumi aman damai.

Akan tetapi malaikat bertanya semula “adakah Engkau mahu menjadikan orang yang membuat kerosakan dan menumpahkan darah sebagai khalifah? Sedangkan kami sentiasa bertasbih, memuji dan mensucikan Mu..”

Kenapa Allah nak jadikan manusia yang degil, nakal, tak dengar kata, malas, main, jahat dan yang sewaktu dengannya sebagai pemimpin? Sedangkan malaikat baik, sentiasa bertasbih, memuji Allah. Kenapa Allah tak jadikan malaikat sebagai pemimpin di bumi?”

Semua pelajar memandang saya dengan penuh tanda tanya. Agaknya mereka terasa dengan kata-kata saya bahawa manusia adalah makhluk yang degil, nakal, malas, suka main dan lain-lain yang negatif tu seperti tertuju kepada mereka. Ya memang saya nak mereka terasa. Itu langkah pertama.

“Tapi Allah kata.. “Aku tahu apa yang kamu tak tahu wahai malaikat..”

وعلم آدم الأسماء كلها ثم عرضهم على الملائكة فقال أنبئوني بأسماء هؤلاء إن كنتم صادقين

“Kemudian Allah ajarkan kepada Nabi Adam a.s nama-nama benda. Ketika Allah meminta malaikat menyebutkan nama-nama benda tersebut, malaikat tidak dapat menjawab.”

Saya memberi contoh nama-nama benda yang ada di dalam kelas tersebut, meja, kerusi, kipas, pintu, pokok dan sebagainya supaya para pelajar jelas dan faham. Ini kerana di dalam al-Quran tidak disebutkan secara terperinci nama-nama benda yang Allah ajarkan kepada Nabi Adam a.s.

قالوا سبحانك لا علم لنا إلا ما علمتنا إنك أنت العليم الحكيم

Mereka berkata “Maha Suci Engkau ya Allah, kami tidak tahu melainkan apa yang Engkau ajarkan kepada 
kami.”

قال يا آدم أنبئهم بأسمائهم فلما أنبأهم بأسمائهم قال ألم أقل لكم إني أعلم غيب السماوات والأرض وأعلم ما تبدون وما كنتم تكتمون

Kemudian Allah berfirman kepada Nabi Adam a.s “Wahai Adam beritahu mereka nama benda-benda ini.” Nabi Adam dapat menyebut nama benda-benda tersebut satu persatu.

“Ok, macam mana Nabi Adam tahu nama benda-benda?” saya memulakan persoalan dan menjawabnya bagi pihak diri sendiri.

“Sebab Nabi Adam belajar, Allah yang ajar Nabi Adam nama benda-benda tersebut.”

“Kenapa malaikat tak tahu?” saya bertanya lagi dan menjawab sendiri.

“Sebab malaikat tak belajar..” seorang pelajar yang bulat matanya khusyuk mendengar sambil merenung saya dan mengangguk-angguk kepalanya.

“Allah beri Nabi Adam akal, sebab tu Nabi Adam pandai. Kita semua ada akal, boleh berfikir, belajar, menghafal, jadi kita semua boleh jadi pandai sebab kita ada akal. Kalau kita belajar kita akan pandai, jadi kalau kita nak pandai kita kena belajar. Semua orang boleh pandai. Kalau kamu belajar sungguh-sungguh kamu akan lebih pandai dari pelajar-pelajar kelas A tu..”

Kelas yang sunyi ketika itu dipecahkan oleh suara seorang pelajar yang memuncungkan bibirnya.

“Ooo..”

Saya meneruskan cerita hingga Nabi Adam dikeluarkan dari syurga kerana termakan hasutan iblis yang dengki kepadanya.

Alhamdulillah, Allah memudahkan tugas saya hari itu. Saya dapat bercerita dengan penuh semangat hingga selesai. Hanya seorang sahaja pelajar yang meminta untuk ke tandas dan dia segera muncul tidak berapa lama kemudian. Para pelajar tidak bising, tidak berjalan-jalan seperti selalu dan tidak mengganggu proses pendidikan waktu itu.

Tugas saya hanya mendidik, Allah sahaja yang bisa membuka pintu hati dan memberi hidayah kepada mereka.

Perhimpunan Isnin

Pada hari tersebut jam 6 petang, para pelajar akan berkumpul di perkarangan sekolah bagi sesi perhimpunan mingguan. Setiap pelajar akan beratur mengikut kelas masing-masing dan hari ini pelajar kelas 2 Gigih mendapat pujian dari guru yang bertugas kerana dapat mematuhi arahan dengan cepat dan berkelakuan sopan. Jika tidak, seperti selalu sering mendapat ‘kemarahan’ dari guru-guru yang seolah-olah telah pun ‘anti’ dengan mereka.

Saya pun agak pelik kerana ketika saya masuk ke kelas itu mereka sudah menjadi pelajar yang patuh. Jika ada yang mahu bercakap, mereka akan bercakap sesama sendiri dengan suara yang seakan berbisik tanpa mengganggu sesi pendidikan. Seorang guru yang mengajar mereka selepas saya keluar dari kelas tersebut bertanya,

“Tadi ajar apa kat kelas tu?”

Saya hanya mendengar soalan itu dilontarkan tanpa jawapan, entah ke mana fikiran saya melayang waktu itu.

Semasa saya melalui barisan kelas tersebut, seorang pelajar menyapa.

“Cikgu, lain kali masuk kelas kami cerita la lagi ye..”

Setelah berminggu-minggu saya tidak menjadi guru ganti di kelas 2 Gigih, saya hampir melupakan kisah ini. Tiba-tiba satu hari, muncul pelajar yang sama membuat permintaan yang sama seperti sebelumnya.

“Cikgu, kalau masuk kelas kami cerita la lagi ye..”

Semoga Allah menerangkan hati mereka dan memudahkan mereka menuntut ilmu..
Posted on by QurrataQalbiey | 1 comment

1 comment: