Friday 7 October 2011

Menulis Untuk ...?




Sudah dua bulan saya tidak mencatat sesuatu di blog ini. Tapi dalam dua bulan tersebut saya juga sedang menulis, yang pastinya bukan di sini. Saya cuba belajar membiasakan diri dalam bidang penulisan dan penterjemahan setelah dua tahun meninggalkan aktiviti ini tanpa saya sedari. Dua tahun terlalu lama bukan? Ya terlalu lama sehingga saya telah memadamkannya daripada senarai aktiviti kesukaan saya.

Sebenarnya semenjak sekolah menengah saya suka menulis dan mencipta puisi dan kata-kata. Saya menulis untuk simpanan sendiri dan sering dibaca oleh rakan-rakan. Pada waktu itu menulis adalah salah satu hobi yang saya gemari. Saya perlukan waktu yang tenang dan masa yang lama untuk menulis. Tetapi sebenarnya antara masalah yang saya hadapi adalah saya tak pernah habis menulis! Pelik bukan? Saya pernah cuba menulis beberapa novel remaja, antaranya kisah budak tomboy yang bernama Maria, tetapi akhirnya tiada pengakhiran =) saya sendiri tidak tahu bagaimana mahu mengakhirkannya. 

Antara masalah lain yang saya hadapi, saya tidak gemar menulis karangan. Hobi menulis tetapi di dalam buku tulis bahasa Melayu saya hanya ada dua karangan sahaja. Saya perlukan masa yang lama untuk menulis. Akhirnya saya tidak menghantar kerja sekolah tersebut kepada cikgu. Cikgu tidak pernah bertanya jadi saya sentiasa tidak rasa bersalah apabila tidak menyiapkan tugas yang diberi. Walaupun sering tidak menghantar kerja sekolah, di antara dua karangan tersebut salah satunya sangat disukai oleh cikgu dan saya mendapat markah tertinggi ketika itu. Karangan tersebut berjaya saya siapkan setelah memerah otak dan tenaga pada malam hari, setelah berhelai-helai kertas saya rosak akibat dipadam beberapa kali. Pada hari ini karangan tersebut sudah tiada, terdapat kesan koyakan pada buku karangan Bahasa Melayu saya. Saya tidak tahu siapa yang mengambilnya.

Mungkin masalah-masalah yang saya hadapi berpunca daripada ketidakfahaman saya terhadap nilai sebuah penulisan. Saya hanya menulis sekadar memenuhi hobi dan masa lapang. Saya juga tidak mengetahui tujuan sebenar menulis dan kerana itulah novel-novel saya tidak pernah tamat. 

Semasa menuntut di KIAS begitu banyak tugasan yang diberikan pensyarah, tentunya tugas tersebut adalah menyediakan satu kertas kerja ataupun assignment untuk penilaian dan markah. Sudah tentu saya sangat menyukai tugas ini. Dalam masa sebulan yang diberikan oleh pensyarah, saya dikalangan orang terakhir menghantar kerja tersebut. Pada 3-4 hari sebelum dateline barulah saya mula menulis dan menghantarnya pada hari terakhir kertas kerja itu perlu diserahkan. 

Di antara 3-4 hari itulah idea datang mencurah-curah, sekali baca buku terus faham dan tak perlu diulang baca semula. Entah kenapa hari-hari sebelumnya baca berkali-kali tidak juga faham, satu idea pun tak muncul, bahan-bahan telah berminggu-minggu dicari tetapi tetap tidak boleh menulis. Pada hari-hari terakhir barulah saya boleh menulis sehingga tidak tidur malam dan ter'escape' kelas keesokan harinya. Itulah penyakit last minit yang menyerang saya waktu itu.

Tetapi saya sangat berpuas hati dengan kerja-kerja saya sekalipun dibuat pada saat-saat kecemasan. Saya pernah cuba mengubahnya tetapi tidak berjaya. Ini kerana penulisan saya tidak pernah akan tamat! 

Setelah dua tahun tidak menulis, membuat kertas kerja dan mencoret sesuatu di kertas-kertas putih, aktiviti ini terasa amat sukar sekali. Entah ke mana hilangnya minat yang pernah menjadi teman saat termenung sendirian. 

Akhir-akhir ini nasihat dan semangat dari teman-teman serta minat yang tersisa membuatkan saya kembali  semula ke alam penulisan. Yang pasti hari ini saya punya tujuan yang lebih jelas dalam menulis. Semoga Allah permudahkan.

Segala puji bagi Tuhan yang mengurniakan sahabat-sahabat yang soleh dan solehah dalam menggapai cita-cita dan keredhaanNya.. Alhamdulillah.. v(^__^)
Posted on by QurrataQalbiey | No comments

0 comments:

Post a Comment