Tuesday 31 May 2011

Muhasabah AGM PRISMA 2010/2011 (For All My Comrades)



Bismillahirrahmanirrahim...

Segala puji bagi Allah yang mengurniakan aku akal untuk berfikir, merenung dan mentadabbur erti sebuah kehidupan..

Sudah lama rasanya blog ini kesunyian, sunyi tanpa buah fikiran dan pengalaman.. Sunyi kerana kesibukan yang menghambat.. Sibuk sangat ke aku? huh.. sebenarnya bukan sibuk sangat pun.. yang lebih tepat tak pandai mengatur hidup! Seharusnya aku punya masa untuk melakukan semua perkara yang aku inginkan, tetapi dek kerana tak pandai menyusun masa beginilah jadinya =) 


Malunya aku sebagai seorang muslim! Bukan ini yang Nabi s.a.w ajarkan.

Segala puji dan kesyukuran atas kurniaan iman di dalam diri, masih diberi kesempatan untuk memuhasabahkan diri yang serba kekurangan ini. Masih diberi peluang untuk sedar akan kesilapan masa lalu. Masih diberi waktu untuk berubah! oh.. betapa bersyukurnya aku atas nikmat nyawa yang dipinjamkan buat sementara. Tanpa kasihNya, siapalah aku..

Setelah setahun bersama teman-teman mengharugni suka dan duka, menimba ilmu dan pengalaman, memahami erti perjuangan, melaksanakan sebuah amanah, maka tibalah masa pengakhirannya.. masa yang dianggap seperti satu hadiah yang paling bermakna dalam hidup. Melepaskan tanggungjawab yang bukan ringan pastinya amat  membahagiakan!

Seharian berada di hadapan pengadilan untuk dihakimi dan diadili, barulah terpampang pelbagai kesilapan dan kelemahan dalam mentadbir. Banyak komentar dan perbahasan yang diterima. Ahli walaupun tidak ramai yang hadir, tetapi yang tetap setia menegur dan membangunkan PRISMA amat-amat dihargai. Kalian pasti akan dapat melihat kejayaan PRISMA sekiranya kalian bisa berubah dan merubah. 

'Ubah' umpama satu revolusi yang terbit dari diri sendiri mahupun orang lain yang didorong oleh kesedaran. Tanpa 'ubah' kita tak akan mampu mencapai sebuah kejayaan. PRISMA tak akan membangun jika ahlinya tidak berubah. 

PRISMA hanyalah satu organisasi, ia bisa berjaya dan mundur mengikut situasi dan suasana ahlinya. Pencorak PRISMA adalah ahli bukan pimpinan. Pimpinan hanya memberi apa yang ahli inginkan. Jika sekirnya ahli sukakan hiburan, tanpa hiburan ahli tidak mahu mengikuti aktiviti-aktiviti yang dijalankan, maka para pimpinan melebihkan 'hiburan' demi menarik minat ahli menyertai program yang dianjurkan. Oleh kerana itu setiap program berbentuk ilmiah terpaksa diselitkan hiburan dan dilaksanakan dengan cara santai demi menarik minat ahli. Natijahnya program PRISMA hanya dilihat sebagai program berhibur, objektif asalnya tenggelam dengan hiburan yang sebenarnya hanya sebagai selingan. Itulah yang berlaku sekarang.

Setiap kali AGM ahli pasti membangkitkan isu akademik, kelas tafaqquh, tutorial dan segala yang berbentuk ilmiah. Sejuk hati mendengarnya. Akan tetapi selepas AGM apabila dianjurkan program-program ilmiah penyertaan ahli amat medukacitakan. Apakah PRISMA mampu terkehadapan sekiranya mempunyai ahli seperti ini?

Sekiranya kalian inginkan sesuatu yang amat penting dalam hidup ini, tunjukkan kemahuan dan kesungguhan kalian yang sebenar, bukan hanya sekadar pandai berkata-kata. 

Buat para mantan, tanggungjawab kita tidak terhenti setakat ini. Semalam bukanlah medan pengadilan yang sebenar, semalam hanyalah sejuzuk kecil daripada acara perhitungan amal dan kerja kita selama ini. Semalam hanyalah hari muhasabah kita di dunia kerana kita akan dihisab di Hari Pembalasan yang hakiki. Maka usahlah bergembira dengan perletakan jawatan pada hari ini, kerana jawatan sebagai seorang khalifah dan daie di bumi ini berkekalan hingga akhir hayat..

Maka dikesempatan yang ada ini saya menyusun jemari memohon dilangsaikan segala hutang sesama manusia, hutang majazi bukan hakiki. Kalau saya ada membuat hutang silalah  tuntut, semoga Allah kurniakan rezeki untuk membayarnya =) Terima kasih buat semua para pimpinan atas segala kerjasama, tunjuk ajar, teguran dan ingatan yang telah kita kongsi bersama.

Segala yang baik itu adalah dari Allah dan setiap inci kelemahan adalah dariNya jua dan disandarkan kepada hamba yang hina ini. 

Siiru 'ala barakatillah..

Siti Nur Aisyah bt Mohd Juki
Mantan Timbalan Setiausaha Agung 
PRISMA 2010/2011
1.00 am
31 Mei 2011
Posted on by QurrataQalbiey | No comments

0 comments:

Post a Comment