Saturday 16 April 2011

Syiria antara ‘ibroh dan khibroh

lurus jalan dilalui, onak dan duri menanti
24/01/11 /12.30 a.m

Bismillahirrahmanirrahim..
Jarum jam tepat ke angka 12.30 tengah malam. Rakan sebilik sudah menarik hirom menutup sebahagian tubuh yang kesejukan. Cahaya lampu telah dipadamkan. Hanya mata ini yang masih cerah, fikiran berputar memikirkan masa hadapan, hati terdetik untuk menaip risalah ini. Risalah yang ingin dikongsikan bersama teman-teman seperjuangan.


Selama seminggu meninggalkan bumi Jordan terasa begitu singkat. Masih tidak puas rasanya menatap wajah sahabat-sahabat di Syiria. Masa terlalu cepat berlalu, udara segar di Syiria sangat-sangat dirindui. Ziarah yang singkat sangat tidak memuaskan. Hanya makam Nabi Yahya a.s sahaja yang sempat diziarahi. Makam Bilal bin Rabbah r.a yang berdekatan tidak dapat dikunjungi memandangkan waktu yang terlalu suntuk. Maaf kepada teman yang mengirimkan salam kepada Bilal r.a tidak dapat ditunaikan. Moga salam itu didengari penghuni langit dan disampaikan kepada beliau. moga semangatnya masih terus mekar dalam sanubari.

Keputusan untuk bercuti di Syiria adalah satu keputusan yang tergesa-gesa. Ahad 16 Jan 2011 jam 8pagi, seusai solat sunat Dhuha, solat sunat Istikharah dilaksanakan, memohon agar keputusan untuk menziarahi Syiria diiringi oleh redhaNya. Inilah pilihanku, keputusanku dan aku yakin Kau menyertainya. Seusai solat dan berdoa, barang keperluan disiapkan, jubah diiron, segala-galanya diuruskan ketika itu juga. Taxi sudah tiba. Berbekalkan wang sebanyak JD60 dan 2600 Lera Syiria (campur semua berjumlah JD100 = RM500), pada jam 9 pagi lebih kurang kami bertolak ke destinasi. Inilah keputusan terakhir, keputusan muktamad.

Maaf kepada teman-teman yang terpaksa menggalas tugas ini buat sementara waktu. Moga Allah s.w.t membalasnya dengan kebaikan yang tidak terhitung. 

Secara jujurnya kunjungan ke Syiria adalah satu usaha untuk menguatkan semangat dan mengislah diri ke arah yang lebih baik. Benarlah kata-kata, andai kita hendak berubah, jauhilah suasana dan teman-teman sekeliling untuk sementara waktu. Berhijrahlah ke daerah yang lebih baik, yang mana masyarakatnya boleh dicontohi dan sejarahnya dapat diteladani. Ya, Syirialah contoh yang paling hampir.

Dalam perjalanan ke Syiria, banyak topik yang diperbincangkan oleh rakan-rakan se’taxi’. Muroqib kami seorang yang peramah, banyak pula pertanyaannya. Memandangkan mereka bertiga berasal dari bumi yang sama, berbagai isu yang dikupas, masyarakat arab Syiria, penuntut-penuntut Malaysia, PPMS dan macam-macam lagi. Tentunya yang menjadi pendengar setia adalah seorang sahaja. Sesekali menyampuk dan bertanya pengalaman mereka di sana. Perkongsian ini memang sangat menarik, dari mereka saya mendapat gambaran awal terhadap cara hidup dan masyarakat Syiria.

Syiria antara ‘ibroh dan khibroh

Sehari di sana sudah mampu memberikan satu suntikan semangat ke dalam diri ini. Subuh hari pertama telah ditemani dengan qiamullail (bukan saya, tetapi orang rumah tersebut, saya terjaga dan cuma memerhati), kami solat subuh berjamaah dan membuat halaqah mendengar tazkirah ringkas. Tazkirah pagi itu berkisarkan tentang kepentingan sirah dan sumber-sumbernya. Ya, sirah dan kepentingannya. Bilamana kita mengikuti BTN dan MBO, sirah Malaysia sering ditekankan, sirah melayu, sirah perkauman. Kita protes tetapi hakikatnya sirah Nabawi pun kita masih ingat-ingat lupa, mungkin lupa terus. =)

Hari-hari seterusnya juga begitu. Mereka punya kekuatan dalaman untuk bangun berjaga malam, bertazkirah diselang-seli dengan bacaan al-Quran secara berjamaah. Tidak punya masa untuk menonton filem korea dan Hollywood apatah lagi bollywood. Hari-hari jadual mereka penuh dengan talaqi, hafazan, diskusi dan murajaah. Keluar rumah di pagi hari dan balik di waktu malam. Murajaah sebentar dan terus tidur, sepertiga malam mereka bangun mengabdikan diri kepadaNya. Mereka seakan tidak punya masa untuk lalai dan leka, sesekali berehat kerana fitrahnya manusia tetapi tidak sampai melalaikan mereka dengan dunia. Menakjubkan. Apa yang membuatkan mereka sekuat itu? Seminggu di sana saya cuba mencungkil rahsia.

Antara sumber kekuatan mereka adalah diskusi yang diwajibkan pada setiap minggu. Mereka punya masa khusus dan masa tersebut tidak boleh diganggu oleh program-program lain. Sumber yang tak boleh mati, kerana matinya akan matilah jiwa perjuangan. Kekuatan dalaman mereka juga bersumber dari kelaziman mengerjakan amalan-amalan sunat seperti solat berjemaah, qiamullail, puasa sunat isnin khamis, sunat rawatib dan lain-lain. Mereka tidak tunggu waktu program tarbiah untuk mengerjakan ibadah-ibadah ini kerana setiap hari adalah waktu tarbiah untuk diri mereka. Mereka mampu mentarbiah diri sendiri tanpa arahan orang atasan kerana semangat mereka sentiasa hidup dari sumber utama itu sendiri.

Yang lebih menakjubkan lagi, bukan sukar bagi mereka untuk mempengaruhi orang lain kerana karakter mereka sendiri boleh dicontohi. Dua orang teman yang dikenali 5 bulan lepas (transit di Mafraq sebelum sampai ke Syiria untuk mengikuti kelas bahasa) sudah pun dapat menyesuaikan diri dengan situasi di sana. Bahkan menjadi contoh kepada kami pula. Subhanallah. Saya benar-benar jatuh hati.

Menziarahi teman-teman dari rumah ke rumah dapat memberikan satu gambaran bahawa mereka sentiasa menanyakan khabar masing-masing, walaupun rumah berjauhan tetapi sentiasa punya masa menziarahi antara satu sama lain. Juga punya masa untuk mengetahui perkembangan teman-teman seperjuangan. Akrab benar mereka walaupun datang dari asal yang berbeza. Ah tak hairanlah jika orang Syiria di sini sentiasa rindukan kampung halaman mereka..

Masyarakat arab di sana juga berbeza dengan yang di sini. Masyarakat yang masih terjaga nilai Islamnya. Rasanya tidak perlu saya cerita kerana saya pasti kalian lebih tahu dari saya. Ya, mungkin itu juga salah satu faktor pembentukan syakhsiah pelajar Malaysia di sana. 

Itulah antara pengajaran dan pengalaman yang dapat saya kongsikan sepanjang perjalanan selama seminggu di bumi Syiria. Kesimpulan yang ingin saya beri adalah satu sahaja iaitu:
Pernah tak anda diberi pilihan antara telur, karot dan kopi, mana yang anda pilih untuk dicontohi?
  • ·         Karot sifat luarannya kuat dan keras. Tetapi apabila direbus dia menjadi lembik dan lembut. Itu tandanya dia tidak tahan ujian dan mudah dipengaruhi suasana.
  • ·         Telur pula luarannya keras dalamnya lembut. Akan tetapi selepas direbus juga ia berubah dari sifat asalnya. Menjadi keras dan enak dimakan tentunya.
  • ·         Kopi pula berbeza dengan kedua-dua contoh di atas. Apabila direbus air putih menjadi hitam. Inilah sifat yang mesti kita contohi. Kita tidak mudah dipengaruhi suasana bahkan kita pula yang mempengaruhi sekeliling kita. Pengaruh yang baik bukan yang buruk.

Itu sahaja kesimpulan yang ingin saya beri, yang lain ‘lu pikir la sendiri’ (bak gaya Dr. Masyitah Ibrahim yang meniru gaya Nabil semasa program MBO baru-baru ini).

Ingatlah bahawa perjuangan ini bukannya mudah, tanpa kekuatan dalaman pasti kita rebah bila dilanda badai ujian yang sentiasa mendatang. Kembalilah ke posisi masing-masing dan mainkan perananmu. Jangan sampai Allah menghina kita dengan membangkitkan golongan lain yang lebih baik untuk memikul wazifah ini.

Walillahil amru jami’aa..
8.54 a.m 24/01/11
Posted on by QurrataQalbiey | No comments

0 comments:

Post a Comment