Saturday 7 April 2012

Untitled



Cabaran hidup di tengah masyarakat bukanlah satu perkara kecil yang mudah semudah lidah menuturkannya. Kita diberi pilihan untuk terus teguh menongkah arus atau rebah dibawa ombak. Mungkin tika ini kita lemah, iman yang berbaki di dada tidak mampu menggerakkan tangan dan lidah mencegah segala kemaksiatan dan kemungkaran di depan mata. Hanya hati yang tinggal kesepian membenci dan terus membenci. Syukur jika masih punya hati yang beriman.


Tapi jika hati pun sudah lali melihat maksiat tanpa perasaan benci lalu apa lagi yang berbaki? Wal'iyazabillah..

Tingkatkan Prestasi Iman

Maka berkatalah hati, sampai bila harus begini?

Sejak dilahirkan kita tidak punya apa-apa pengetahuan dan pengalaman. Yang kita ada hanyalah kemampuan untuk terus belajar dan kekuatan untuk terus berusaha. Sehingga kini, atas usaha yang tidak pernah jemu dan keinginan yang tinggi untuk terus belajar kita adalah kita yang ada pada hari ini. Anda adalah anda dan saya adalah saya..

Namun bila difikirkan semula, sudah semakin tua ini kita sudah semakin kurang berusaha lebih-lebih lagi usaha untuk menambah amal serta meningkatkan iman dan taqwa. Kita lebih selesa dengan 'iman' yang cukup-cukup makan yang kita miliki sekarang.

Apabila iman tidak ditingkatkan, maka natijah daripada 'iman' itu sendiri sukar untuk ditonjol dan direalisasikan oleh anggota badan. Iman adalah titik tolak segala anggota berdaya bergerak ke arah keredhaanNya dan menjauhi laranganNya.

Nabi s.a.w pernah bersabda:

عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول :  من رأى منكم منكرا فليغيره بيده ، فإن لم يستطع فبلسانه ، فإن لم يستطع فبقلبه ، وذلك أضعف الإيمان
رواه مسلم 


Maksudnya: Daripada Abu Sa'iid al-Khudri r.a katanya: "Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa daripada kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangan. Jika dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidah. Jika dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan hati. dan itu adalah selemah-lemah iman." (Riwayat Muslim)

Hadis di atas menyatakan bahawa, mencegah dengan hati adalah selemah-lemah iman bahkan ia menjadi Fardhu Ain yang diwajibkan ke atas setiap muslim menurut pandangan para ulama'. Ini bermakna orang yang kuat imannya akan bisa menggerakkan anggotanya melaksanakan ketaatan dan mencegah kemungkaran dengan tangan dan lidahnya.

Bagaimana mencegah dengan hati itu adalah selemah-lemah iman?

Menurut Imam An-Nawawi, maksud lemah dan tidak mampu ialah dia takut diri atau hartanya ditimpa mudharat dan ketika itu dia tidak mampu menanggungnya.

Iman yang lemah akan membuatkan manusia merasa bimbang kehilangan jiwa dan harta. Akan tetapi iman yang kuat akan meyakini bahawa segala kebaikan dan kemudharatan adalah daripada Allah s.w.t. Efeknya dia tidak akan merasai ketakutan dan kebimbangan sekiranya dia dianiaya demi sebuah kebenaran. Jika hartanya hilang, pasti ada ganti yang lebih baik. Jika nyawanya melayang pasti syurga bakal menanti di akhirat nanti.

Dalam perbahasan berkaitan hal ini, sahabat-sahabat boleh merujuk Hadis ke 34 dalam Syarah Hadis 40 karangan Imam An-Nawawi.

Iman yang kuat dan sempurna juga dapat mencegah manusia dari melakukan perbuatan keji dan mungkar. Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam menyebut di dalam satu hadis:


قال النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏لا يزني الزاني حين يزني وهو مؤمن ولا يشرب الخمر حين يشرب وهو مؤمن ولا يسرق حين يسرق وهو مؤمن ولا ‏ ‏ينتهب ‏ ‏نهبة ‏ ‏يرفع الناس إليه فيها أبصارهم حين ‏ ‏ينتهبها ‏ ‏وهو مؤمن

Maksudnya: Nabi s.a.w., bersabda: "Seseorang yang hendak berzina, tidak akan melakukan zina itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya dan seseorang yang hendak meminum arak,  tidak akan meminum arak itusemasa ia berkeadaan sempurna imannya dan seseorang yang hendak mencuri,  tidak akan melakukan perbuatan itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya dan seseorang yang melakukan rompakan yang lazimnya menjadikan orang yang dirompak itu memandang sahaja kepadanya, tidak akan merompak semasa ia berkeadaan sempurna imannya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jelas di sini bahawa iman yang kuat dan sempurna bukan sahaja mendorong manusia mengajak kepada kebenaran dan mencegah kemugkaran, bahkan menghindarkannya dari melakukan perbuatan-perbuatan yang menyalahi norma dan syariatullah.



Iman akan menjadi kuat dengan amal ketaatan dan melemah dengan maksiat. Walaupun manusia percaya bahawa Allah itu wujud, namun kerana ketidaksempurnaan dan kelemahan iman dia mudah terjebak melakukan jenayah terhadap Allah s.w.t. Bermula dari situlah sekiranya dia tidak segera bertaubat, imannya akan menurun dan terus menurun sehingga segala jenis maksiat mampu dilakukan tanpa dia sedari.

Oleh kerana itu, seorang mukmin hendaklah sentiasa berada dalam ketaatan agar iman dan taqwanya terpelihara dari mengingkari Allah s.w.t dan segera bertaubat sekiranya terjerumus melakukan dosa.

Dr. Abdul Basit Abdul Rahman (Abu Anas Madani) ada menyebut, jangan kita kira dosa yang dilakukan itu kecil atau besar tapi siapa sebenarnya yang kita ingkari.

Begitulah muqaddimah saya pada entry kali ini (^_^)v ..

Tujuan asalnya saya ingin menulis berkaitan para pendidik dan para daie, tidak kira la di kelompok mana pun mereka menyeru, keimanan yang mantap amat diperlukan dalam keberlangsungan dakwah di muka bumi. Jika sekiranya masyarakat lemah iman ditambah pula dengan daie yang hanya membenci di dalam hati nyata dia bukan lagi seorang penyeru ke jalan Allah..

Persiapan Para Daie


Di sini saya ingin kongsikan tips-tips yang diambil daripada FB Cikgu Nazeli Ahmad. Mungkin ada yang belum mengetahuinya, mungkin ada yang sudah membacanya tapi masih belum diamalkan,  dan mungkin ada juga yang sudah membaca serta mengamalkannya alhamdulillah..

Semua tips-tips ini adalah hasil pandangan para ulama' bagi membantu para daie dan pendidik berhadapan dengan masyarakat.

Dr Yusof al-Qardhawi dalam bukunya Tsaqafah al-Daieyah (Kritik dan Saran untuk Para Da’i – terj) menyatakan beberapa persiapan ilmu dan pengetahuan yang mesti dimiliki oleh para pendakwah. Antaranya,
1. Ilmu pengetahuan Islam iaitu berkisar tentang al-Quran, sunnah Nabi Muhammad saw, hukum-hukum Islam, ilmu usul fiqh, ilmu aqidah dan tasawuf.
2. Pengetahuan sejarah.
3. Pengetahuan bahasa dan kesusasteraan.
4. Pengetahuan tentang manusia meliputi ilmu psikologi, filsafat, ilmu akhlak dan ilmu pendidikan.
5. Pengetahuan ilmiah (sains).
6. Pengetahuan tentang kenyataan-kenyataan iaitu realiti di dunia Islam, antarabangsa, aliran-aliran politik dunia, gerakan Islam, gerakan pemikiran Islam serta situasi-situasi tempatan yang bersifat lokal.

Dr Abdul Karim Zaidan menyenaraikan dalam bukunya Usul al-Dakwah (Islam dan Dakwah-terj) mengenai persiapan pendakwah antaranya:
1. Kefahaman yang mendalam.
 a. Memahami matlamat hidup dan kedudukannya.
 b. Menjauhkan diri daripada kehidupan dunia dan sentiasa mengharapkan akhirat.

2. Keimanan yang mantap.
 a. Cinta dan kasih sayang.
 b. Takut.
 c. Berharap.

3. Hubungan yang intim dengan Allah (berhubung dan bertawakal kepada Allah).

Abul ‘Ala Al Maududi dalam bukunya Petunjuk Untuk Juru Dakwah mengemukakkan sifat-sifat yang diperlukan oleh pendakwah iaitu meliputi persiapan juru dakwah iaitu;
1. Sabar.
2. Senang memberi pertolongan dan bersedia berkorban waktu, tenaga, fikiran dan harta serta kepentingan-kepentingan lain.
3. Cinta dan memiliki semangat yang tinggi dalam mencapai tujuan dakwah.
4. Menyediakan diri untuk bekerja terus menerus, secara teratur dan berkesinambungan.

Mengenai akhlak pendakwah pula, Dr Abdul Karim Zaidan menyatakan dalam bukunya Usul al-Dakwah (Islam dan Dakwah-terj) menegaskan bahawa akhlak pendakwah ialah akhlak Islam seperti yang dinyatakan dalam al-Quran dan dihuraikan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam sunnah Baginda, antaranya;
1. Sidiq (Jujur/Benar).
2. Sabar.
3. Pengasih.
4. Merendah diri.
5. Bergaul dan beruzlah.

Dr. Ahmad Ghallusy dalam bukunya Dakwah Islamiah mengemukakan sifat-sifat pendakwah yang unggul iaitu;
1. Hubungan pendakwah dengan Allah.

2. Hubungan pendakwah dengan manusia iaitu;
 a. Penghargaan kepada manusia,
 b. Sifat-sifat mesra dan kasih sayang dan
  i. Benar dan amanah.
  ii. Tidak lekas marah dan pemaaf.
 c. Sifat-sifat keberkesanan dan kepimpinan.
  i. Rasa simpati.
  ii. Mulia dan berani.
  iii. Murah hati.

3. Ufuk pendakwah.
 a. Pengetahuan yang sempurna mengenai dakwah.
 b. Pengetahuan tentang mereka yang menjadi sasaran dakwah.
  i. Ilmu sejarah.
  ii. Ilmu geografi.
  iii. Ilmu jiwa kemasyarakatan.
 c. Mengetahui bahasa orang yang menjadi sasaran dakwah.

Ini adalah sebahagian panduan yang boleh diambil dalam melaksanakan amanah yang ditinggalkan oleh Baginda Rasul sallallahu'alaihi wasallam.

Para daie dan pendidik hendaklah sentiasa memperbaiki diri dalam mendepani cabaran yang semakin hebat. Semoga perkongsian kali ini dapat memberi manfaat dan peringatan kepada diri dan sahabat-sahabat. Wabillahi taufiq wal hidayah..
Posted on by QurrataQalbiey | No comments

0 comments:

Post a Comment