Friday 9 March 2012

Jadilah Guru Yang Murabbi ~


Jadilah guru yang Murabbi


“Generasi hari ini adalah impian dan harapan masyarakat masa lampau, generasi akan datang adalah impian dan harapan masyarakat hari ini.”

Kata-kata yang dipetik daripada salah seorang pemimpin Indonesia ini telah memberi satu implikasi yang mendorong penulis untuk menjadi seorang pendidik. Walaupun pada asalnya guru j-QAF bukanlah satu profesion yang menjadi idaman, namun setelah menjalani Minggu Orientasi Sekolah penulis mengakui bahawa pendidikan itu seharusnya bermula dari peringkat kanak-kanak sesuai dengan satu pepatah Melayu yang berbunyi “melentur buluh biarlah dari rebungnya.”

Minggu pertama dan seterusnya banyak memberikan penulis gambaran sebenar berkaitan alam pendidikan. Penulis mempelajari pelbagai ilmu dan kemahiran antaranya adalah kaedah pengajaran dan pembelajaran, psikologi murid dan lain-lain lagi. Pun begitu, ilmu yang ditimba secara tidak formal ini masih perlu dilengkapi dengan menambah bahan bacaan dan menghadiri interaksi kuliah di Institut Pendidikan Guru.

Berdasarkan pengalaman yang ditimba selama berada di Sekolah Kebangsaan Kangkar Pulai, penulis mendapati untuk menjadi seorang guru yang baik pendidik hendaklah memahami konsep pendidikan itu sendiri serta mendalami aspek psikologi murid. Kedua-dua perkara ini saling berkait rapat antara satu sama lain demi mencapai pendidikan yang berkesan.

Sebagaimana yang disebut oleh Muhammad Qutb, pendidikan ialah proses membentuk manusia secara menyeluruh dan seimbang. Tujuan utama pendidikan adalah mengembangkan potensi intelek, fizikal, emosi dan rohani manusia ke tahap kesempurnaan.

Daripada pentaksiran ini, pendidikan bukanlah satu proses yang hanya menekankan aspek intelek semata-mata, bahkan ke semua elemen fizikal, emosi dan rohani turut tercakup dalam pengertian pendidikan. Mengutamakan aspek intelektual sehingga mengabaikan elemen yang lain sebenarnya membawa kepada kegagalan dalam proses pendidikan.

Intelektual merujuk kepada kemahiran berfikir, memahami, menilai, menghafal dan sebagainya. Fizikal pula adalah selain emosi dan rohani, iaitu aspek jasmani yang perlu menjalani proses pendidikan bagi perkembangan dan pertumbuhan yang sempurna. Para pendidik juga tidak boleh mengabaikan aspek emosi pelajar, ia perlu dibina dan dibentuk. Adapun elemen rohani, ia adalah proses pembentukan sikap dan akhlak. Sekiranya elemen ini dikesampingkan, hasil daripada proses pendidikan hanya akan melahirkan murid yang memiliki intelektual yang tinggi namun mempunyai nilai peribadi yang rendah. Keempat-empat perkara ini sangat dititikberatkan di dalam Islam bagi membentuk insan yang seimbang dari segenap segi.

Selain itu, mendalami ilmu psikologi kanak-kanak turut membantu para pendidik melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan berkesan.

Asy-Syaikh Muhammad al-Khidhr Husain rahimahullah menyebut: “Ramai orang belum menyedari bahawa anak-anak adalah salah satu unsur umat ini. Hanya saja dia tersembunyi di sebalik tirai keanak-anakannya. Apabila kita singkap tabir itu, pasti kita temui dia berdiri sebagai salah satu tiang penahan bangunan umat ini. Akan tetapi, ketentuan Allah pasti berjalan, iaitu tabir tersebut tidak akan tersingkap selain dengan bimbingan dan pendidikan secara berkala, sedikit demi sedikit. Oleh sebab itu, hendaklah dilakukan dengan perencanaan yang matang dan bertahap.”

Daripada ungkapan di atas kita memahami bahawa sifat dan tingkah keanak-anakan tidak sesekali mengecualikan mereka daripada kelompok masyarakat. Ini kerana pembentukan sebuah masyarakat dan tamadun adalah bermula daripada peringkat kanak-kanak. Oleh itu memahami psikologi kanak-kanak merupakan satu aspek terpenting dalam proses pendidikan.

Menurut buku Psikologi Pendidikan Untuk Pengajaran dan Pembelajaran, psikologi diertikan sebagai satu disiplin ilmu yang mengkaji secara saintifik tingkah laku manusia atau haiwan, khasnya pemikiran, sikap, perasaan, naluri, potensi, kecerdasan, keperluan dan tindak balas manusia terhadap rangsangan persekitaran.

Ilmu psikologi ini dapat membantu para pendidik memberikan pendidikan yang sesuai mengikut peringkat umur, tahap kecerdasan, keaktifan dan sebagainya. Melalui ilmu psikologi kanak-kanak juga, para pendidik mampu memahami sifat dan tingkah laku pelajar seterusnya dapat menggunakan cara yang tepat dalam menangani permasalahan semasa proses pendidikan. Rangkuman daripada ilmu pendidikan dan psikologi ini, keduanya dapat melahirkan pendidik yang memahami, bertimbang rasa, penyayang serta dapat membantu para pendidik mencapai objektif yang diharapkan.

Selain daripada itu, kanak-kanak memiliki satu keistimewaan yang mencerminkan sikap naif dan kesucian mereka iaitu mudah menerima. Mereka ibarat kain putih yang mudah kotor namun sukar dicuci. Sebagaimana sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam:

ما من مولود إلا يولد على الفطرة فأبواه يهودانه وينصرانه ويمجسانه..

Maksudnya: “Tidaklah seorang anak dilahirkan melainkan dilahirkan di atas fitrah. Namun, kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi..”
            Maka para pendidik hendaklah berhati-hati dalam menerapkan ilmu dan pengetahuan ke dalam diri kanak-kanak. Pendidikan yang sempurna adalah pendidikan yang bersumberkan Al-Quran dan Hadis. Di peringkat ini kanak-kanak hendaklah diberikan perhatian dan diterapkan nilai murni sehingga mampu menilai sendiri kebaikan dan keburukan serta kerosakan-kerosakan yang melata.

Seringkali kita melihat kanak-kanak tidak mengerti implikasi setiap perbuatan dan tindakan yang mereka lihat dan tiru, ini kerana mereka tidak didedahkan dengan sebenarnya konsep kebaikan dan keburukan sesuatu perkara. Pencegahan dan ajakan hendaklah diiringi dengan penjelasan kebaikan, keburukan, hikmah, kesan pada diri dan sebagainya agar kanak-kanak dan pelajar memahami asas sesuatu tindakan itu diambil dan dijauhkan. Pendidik juga harus melebihkan hikmah daripada ancaman dalam membentuk peribadi pelajar.

Pendidikan melalui teladan juga amat penting kerana guru adalah cerminan ilmu, setiap tindakan dan perilaku guru akan menjadi ikutan dan pedoman kepada murid. Ini kerana sifat para pelajar adalah mudah mempercayai dan berpegang kepada perkara-perkara yang dizahirkan oleh guru-guru mereka sekalipun perkara itu salah. Oleh yang demikian, para guru hendaklah berhati-hati dalam melaksanakan sesuatu perkara atau membicarakan sesuatu hal. Pastikan setiap tingkah laku dan pertuturan adalah tidak bertentangan dan bersalahan dengan disiplin ilmu.

Pendidik yang baik juga adalah pendidik yang sentiasa mendorong pelajar-pelajarnya mendalami dan mencintai ilmu, melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan. Dorongan boleh diberikan dalam pelbagai bentuk seperti pujian, memberikan hadiah, mengiktiraf hasil kerjanya serta memberikan kepercayaan kepada mereka. Pelajar-pelajar yang dihargai mudah termotivasi untuk menjadi lebih cemerlang begitu juga pelajar-pelajar yang nakal akan mudah dilenturkan.

Memberikan ancaman juga perlu dalam menangani permasalahan murid, namun bukanlah selalu. Selalu memberi ancaman akan menyebabkan murid lali dan enggan berubah. Ancaman yang kerap juga boleh merendahkan tahap keyakinan diri pelajar, gangguan emosi, fobia, takut dan dibimbangi akan membentuk peribadi yang keras dan kasar.

Di dalam Al-Quran turut terdapat metode ancaman seperti neraka dalam mendidik jiwa manusia, namun Allah s.w.t sentiasa menggandingkannya dengan khabar gembira dan ganjaran seperti syurga. Cara ini telah mendidik para sahabat radiallahu’anhum dengan berkesan, mereka merasa takut dengan ancaman Allah di samping itu mereka turut mengharap ganjaran dan berusaha serta berlumba-lumba mendapatkannya.

Kesimpulannya, seorang guru yang baik perlu memiliki ilmu pendidikan, memahami psikologi murid serta mendalami metode pendidikan yang terdapat di dalam Al-Quran dan Hadis. Mendidik adalah tugas Rasulullah sallallahu’alaihiwasallam, adapun pendidik kepada ikon pendidik dunia ini adalah Allah subhanahuata’ala, maka dimanakah ilmu pendidikan yang paling sempurna jika bukan di dalam Al-Quran dan Hadis? Ini bukan bermakna penulis menolak ilmu-ilmu ahli pendidik barat, bahkan ilmu yang baik dari mereka juga adalah anugerah Allah, namun ilmu-ilmu tersebut hendaklah disinergikan dengan petunjuk Islam agar proses pendidikan tidak hanya tertumpu pada aspek intelektual dan emosi semata-mata. 
Posted on by QurrataQalbiey | No comments

0 comments:

Post a Comment