Saturday 4 February 2012

Andai Aku Bukan Orang Agama, Alim Ulama' ....

Ada potensi nak jadi budak nakal kat sekolah? 

Bulan lepas di artikel lepas saya ada menulis sesuatu berkaitan blok-blok atau halangan dalam kehidupan. Cita-cita untuk menyambung pelajaran tergendala seketika, pun begitu saya masih merancang agar cita-cita dan semangat itu agar tidak mati di tengah jalan. Cuba menenangkan hati, syukur, sabar dan redha..

Akan tetapi kesabaran ini diuji lagi, bahkan telah menterbalikkan ikhlas menjadi istikhlas sehingga 360 darjah!

ربنا أفرغ علينا صبرا

Saya tidak tahu apa yang harus dikatakan lagi, hari pertama mengikuti orientasi membungkamkan perasaan. Sebal. Saya menghubungi murabbi, meminta nasihat darinya.

Ana tak jumpa ikhlas untuk teruskan semua ini.

Saya mengaku saya tak ikhlas. Memaksa diri melakukan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip hidup sangat menyakitkan. Allah Allah..

Petang 30 hari bulan itu mama bertanya khabar.

mama: sihat? dah baik demam? belajar apa tadi?

saya: sihat, dah.. tak ada belajar apa lagi. ma boleh tak nak kerja lain?

mama: sabarlah, nak mengajar budak-budak kena la belajar cara-caranya.

Setiap malam yang saya lalui begitu sukar melelapkan mata, tidur lewat pagi, jika tidur awal sedikit pun pasti terjaga dan tidak lena di tengah malam. Pagi-pagi terkulat-kulat dan memaksa diri bangun seawal mungkin.

Pagi keesokannya saya menerima sms dari mama. Terimalah rezeki Allah beri, berlapang dada semoga mendapat rahmat.

Hati masih tak terubat.

Pagi selasa murabbi menghantar pesan melalui sms.

"Ramai sahabat tak setuju dan tak puas hati dengan persetujuan Nabi s.a.w dalam Sulh Hudaibiah. mereka rasa dipermainkan oleh Quraisy. Tetapi Nabi pandang jauh ke depan merentas sempadan masa dan perasaan. Dua tahun lepas tu Allah berikan Fathu Makkah."

Merenung sirah dari tazkirah murabbi, saya cuba memperbetulkan semula persepsi dan mindset ini, malangnya ia sering diganggu dan digugat oleh perkara-perkara yang saya alami semasa di sana. Nyata pesanan itu masih tak membantu meredakan tekanan.

Sekali lagi peringatan masuk ke inbox.

"Bila dah pilih masuk sektor awam, bersedia dengan cabaran yang perlu diciptakan menjadi peluang. memang itu medannya yang kita pernah berjanji untuk mengubahnya. yang diperlukan hanya istiqamah, thabat dan berstrategi. sebelum Hijrah Nabi memang semuanya adalah kesakitan dan kepahitan."

Ya betapa perlunya orang-orang yang memahami agama dan berusaha menunaikan tuntutannya memenuhi ruangan itu. Tapi untuk melaluinya begitu menyakitkan, saya sendiri tidak dapat menahan perasaan dari rasa tertekan. Menerima dengan lapang dada? Oh tidak.. Begitu sempit dada menerima kenyataan ini. Hidup di dunia berbeza bersendirian menahan rasa dan dukacita.

Sudahkah Aku Muslim Dari Sudut Akidah, Ibadah Dan Akhlak?

Kiranya saya bukan pelajar jurusan agama, bolehkah saya melanggar hukum agama? Patutkah saya merasa tidak mengapa tidak mempelajari agama?

Kiranya saya seorang bakal guru agama, bolehkah saya melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran agama? Bolehkah saya menafikan apa yang dipelajari sebelum menjadi pengajar dan pendidik anak bangsa?

Jika saya adalah pelajar agama, adakah saya menjadi malaikat setelah mendapat sijil dan ijazah?

Jika saya bukan pelajar agama, bolehkah saya menjadi penjahat dan melanggar peraturan Islam?

* * *

Apakah jawapan anda kepada persoalan-persoalan di atas?

Walau apa pun bidang anda di universiti, apa jua jawatan anda di dalam sektor awam dan swasta, bahkan siapa pun anda di dunia ini..

Jawatan sebenar anda adalah satu sahaja, iaitu hamba Allah.

Sijil yang layak untuk anda bertemuNya hanyalah Islam, itu adalah major anda di dunia ini.

Maka, bolehkah anda menidakkan ajaran Islam dan tuntutannya dalam apa jua situasi dan keadaan? 

Bolehkah anda menghukum pelajar agama yang tidak mempraktikkan apa yang dipelajari sewenang-wenangnya tanpa melihat kepada agama yang anda anuti dan tingkah laku anda sebagai penganutnya?

Bolehkah pelajar agama menidakkan apa yang mereka dalami selama bertahun-tahun hidup di universiti serta berkelakuan menyalahi ilmu yang dimiliki?

Pasti jawapan untuk semua persoalan ini adalah TIDAK.

Saya tidak mahu menjawat jawatan awam atau mengikuti kursus J-QAF ini bukan kerana saya tidak mahu mendidik anak bangsa, malah itu adalah cita-cita saya.

Ya, pernah saya katakan bahawa saya tidak mahu jawatan ini kerana masih ingin menyambung pengajian, pernah juga saya katakan saya tidak mahu terikat dengan akta, saya juga tidak mahu menjadi puppet, saya mahu mendidik pelajar dewasa, saya mempunyai cita-cita dan masa depan sendiri, saya mahu menikmati kebebasan dan memperjuangkan prinsip hidup sebebas dan semahu saya.

Tetapi semua itu adalah perkara-perkara teknikal yang boleh diatasi dengan perancangan dan strategi.

Malangnya, satu perkara yang tak mampu saya lalui sendiri dan memberi tekanan hebat dalam diri adalah melihat norma-norma dan syariatullah dilanggar di hadapan mata tanpa mampu mencegahnya serta melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan prinsip dan pegangan hidup saya selama ini. 

Perkara inilah yang mengubah serta memutar kembali darjah keikhlasan sehingga 360 pusingan dan ia amat sukar untuk dipertimbangkan semula. 

Semasa di kolej dan universiti, saya terkenal sebagai orang yang straight to da point, berterus terang, kalau nak nasihat saya cakap terus, kalau nak tegur saya tak berlapik-lapik nanti orang tak faham, keras, syadid dan entah apa-apa lagi. Tetapi apabila berhadapan dengan situasi yang telah dilalui dan apabila tak mampu dan kuat untuk bersuara, memendam dalam hati, betapa sakit dan azabnya rasa.

(يا أيها الذين أمنوا أتقوا الله حق تقاته ولا تموتن إلا وأنتم مسلمون)

wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan janganlah kamu mati melainkan kamu sebagai muslim.

قال ابن كثير في تفسيره: وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. أي حافظوا على الإسلام في حال صحتكم وسلامتكم لتموتوا عليه، فإن الكريم قد أجرى عادته بكرمه أن من عاش على شيء مات عليه، ومن مات على شيء بعث عليه، فعياذاً بالله من خلاف ذلك

Ibnu Katsir dalam mentafsirkan ayat ini berkata: peliharalah agama Islam dalam keadaan kamu sihat dan sejahtera agar kamu mati dalam keadaan tersebut, sesungguhnya Allah dengan kemuliaanNya telah menentukan bahawa sesiapa yang hidup dengan sesuatu (amal perbuatan) dia akan mati dalam keadaan tersebut, sesiapa yang mati dalam sesuatu keadaan dia akan dibangkitkan dengan keadaan itu, maka berlindunglah dari Allah daripada menyalahi perkara tersebut.

 أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: فوالذي لا إله غيره إن أحدكم ليعمل بعمل أهل الجنة حتى ما يكون بينه وبينها إلا ذراع، فيسبق عليه الكتاب فيعمل بعمل أهل النار فيدخلها، وإن أحدكم ليعمل بعمل أهل النار حتى ما يكون بينه وبينها إلا ذراع فيسبق عليه الكتاب فيعمل بعمل أهل الجنة فيدخلها. أخرجه البخاري ومسلم

Mafhumnya: Sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda: Demi Allah yang tidak ada Tuhan selainnya, sesungguhnya seseorang kamu itu tetap akan beramal dengan amalan ahli syurga sehinggalah di antaranya dengan syurga itu jaraknya cuma sehasta sahaja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya (suratan takdir) sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka, maka masuklah ia ke dalam neraka. Dan sesungguhnya seseorang kamu tetap akan beramal dengan amalan ahli neraka sehinggalah di antara dirinya dengan neraka cuma sehasta saja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya sehingga dia beramal dengan amalan ahli syurga, maka akhirnya masuklah dia ke dalam syurga itu. (riwayat Bukhari & Muslim)

Tidak kira siapa pun kita dan apa jua bidang kita di dunia ini, maka tidak sepatutnya kita menidakkan tuntutan agama dalam apa jua keadaan dan situasi. Oleh itu, berusalah untuk mentaati Allah dalam keadaan susah dan senang dan mintalah perlindungan Allah dari kesudahan dan kematian yang tidak baik.
 ثبت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك
Wallahua'lam..

أستغفر الله العظيم لي ولكم، وبالله توفق والهداية
Posted on by QurrataQalbiey | 2 comments

2 comments:

  1. mesti berani tukar kesempitan menjadi peluang. Bangkit!!! syah kn kuat semangat:)

    p/s: jgn moody plk kt kursus tu ok!!!peace..hehe<3

    ReplyDelete
  2. k.umi.. :( jazakillahu khair.. :)

    kat sana ok, moody kejap2 je sebab kawan2 sume jenis yang ceria2.. tapi huhu susah juga nak menenangkan hati.

    ReplyDelete