Friday 20 January 2012

Menyusun Blok-Blok Kehidupan



Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah.. segala puji bagi Allah atas segala nikmat yang dikurniakan olehNya buat diri dan keluarga.



Minggu ini di pertengahan Januari, saya menerima dua nikmat besar yang bakal mencorak kehidupan di masa hadapan. Pertama nikmat silaturrahim dan yang kedua adalah nikmat rezeki dan pekerjaan. Moga kedua-dua nikmat ini berkekalan sehingga ke akhirnya.

Sebenarnya Allah telah memakbulkan doa saya berkaitan kedua-dua perkara ini. Pertama, saya selalu berdoa agar didampingi oleh orang-orang soleh dan solehah agar perjalanan saya menujuNya sentiasa dapat diperbaiki dan diperteguhkan. Sahabat, teman, rakan seperjuangan, malah sering memohon agar dikurniakan suami yang soleh serta zuriat yang soleh dan solehah di dalam sujud dan doa. Alhamdulillah.. semua itu saya miliki, sahabat-sahabat yang soleh dan solehah, yang punya cita-cita mendaulatkan Islam di bumi khususnya di Malaysia. Cuma kategori yang terakhir itu masih dalam caturanNya, Allah Maha Memberi..

Kedua.. Saya memohon agar dapat berbakti kepada kedua ibu bapa dan membahagiakan mereka sebelum salah seorang antara kami dijemput Ilahi. Boleh jadi saya yang bakal mendahului mereka menemui Sang Pencipta kerana kematian tidak mengenal usia. Jadi sebelum nadi terhenti, biarlah ia sempat bernafas dan lelah membalas jasa mereka.. Allah Maha Memberi..

Doa yang kedua itu Allah makbulkan melalui punca rezeki saya. Ya pekerjaan saya itulah wasilah yang dikurniakan olehNya untuk membalas segala kasih sayang yang dicurahkan oleh mereka selama ini.

Cita-cita & Harapan

Untuk merealisasikan cita-cita saya telah mengatur beberapa perancangan, plan, target dan sasaran di masa hadapan. Saya merangka apa yang mahu saya capai pada 5 tahun akan datang. Menjadi pakar dalam bidang yang diceburi dan memperkemas minat dan kemahiran yang saya miliki. Sudah tentu untuk mencapai semua ini memerlukan saya melalui lorong yang betul. Jalan yang saya pilih juga menentukan siapa saya pada 5 tahun akan datang.

Bagi mencapai semua ini, pekerjaan yang bakal saya ceburi memberi impak yang sangat besar kepada impian yang telah lama dilakar di minda. Jenis dan tempoh pekerjaan tersebut memainkan peranan penting supaya cita-cita bukan hanya sekadar angan-angan di siang hari. Saya begitu jelas apa yang mahu dicapai, namun perancangan Allah jua mengatasi segalanya. Jenis dan tempoh pekerjaan saya sangat jauh dari apa yang saya target.

Sapa suruh hang apply kerja tu? Dah dapat nak merungut pula ~ huhu

Bukan merungut, saya menulis di sini kerana ingin memperbetulkan persepsi saya terhadap masa hadapan. Saya mahu melihat hidup dari pandangan perancang kehidupan sebenar. Saya mahu melihat dan menilai hikmah di sebaliknya. Memang diakui saya merasa 'depressed' dengan keputusan ini jadi saya mahu belajar menerimanya dengan lapang dada. Dan yang lebih utama, saya juga mahu anda memandang hidup dari pandangan perancang kehidupan yang sebenar iaitu Allah s.w.t.

Menerima jawatan sebagai guru J-Qaf adalah harapan keluarga yang mahu saya bekerja berbanding menyambung pelajaran sebagaimana yang diimpikan. Namun setelah direnung kembali.. itulah doa yang pernah saya minta kepada Tuhan untuk berbakti kepada mereka. Saya ditempatkan di IPG Kampus Tun Hussien Onn yang sangat berdekatan dengan rumah.. Alhamdulillah (^_^)v

Kerjaya lain yang saya apply tidak ditentukan Tuhan untuk saya. Kalau tak dah lama pilih kerja lain dari jadi Cikgu J-Qaf hihi

Terkenang kisah di Jordan, saya pernah tanya seorang ahli penal berkaitan kerjaya yang tidak cocok dengan sijil dan kemahiran yang kita ada, contohnya J-Qaf ni la, bagaimana kita dapat mengaplikasi ilmu yang dimiliki dalam keadaan seperti ini? Penal tersebut memberi jawapan yang menegur saya semula, kita ni jangan memilih sangat nak kerja... keh3 memang saya memilih pun kerana saya tahu apa yang saya nak.. (^_^)

Baiklah.. saya sudah memikirkan beberapa solusi agar ilmu yang ditimba tidak hilang dan tersia.. Insya-Allah..

Menyusun Blok-Blok Kehidupan


Pertembungan cita-cita dan harapan keluarga memang sangat kritikal dan sering menentukan siapa kita yang sebenar dalam menyusun blok-blok kehidupan. Ramai yang gagal dan tewas menyusun blok dengan betul, malah ramai yang tidak mahu menyusun semula blok yang merintang di hadapan dalam mencapai impian masing-masing. Lalu akhirnya mereka menjadi kecewa dan membiarkan blok itu terus menghalang perjalan mereka untuk sampai ke puncak impian.

Tidak kurang juga ramai yang berjaya mendepani blok-blok tersebut sehingga menjadikan ia sebagai batu loncatan dalam menuju cita-cita. Malah ada yang menjadi lebih cemerlang dengan adanya blok-blok itu. Jadi bagaimana kita menyusun dan mengatur semula perancangan agar blok yang merintang dapat dilepasi dengan jayanya?

Apakah yang saya maksudkan dengan blok-blok kehidupan? Blok-blok adalah rintangan dan halangan yang kita depani di sepanjang perjalanan dalam membentuk kehidupan yang kita inginkan. Menyusun blok-blok adalah umpama mengatur semula perancangan agar kita menemui jalan lain yang mampu dilalui bagi mencapai hasrat dan tekad.

Hidup ini memerlukan kita untuk memilih dan berusaha untuk mencapai pilihan tersebut. Allah s.w.t telah merancang takdir yang tertentu untuk kita, tetapi Allah tidak pernah menghalang kita dari berusaha dan mengharap kepadaNya.

Mengurus Problematika 


Di sini saya membentang beberapa metode dalam mengurus masalah, cabaran, tentangan dan segala apa yang menghalang perjalanan kita dalam menggapai matlamat. Cara-cara berikut perlulah disesuaikan dengan masalah yang dihadapi. Anda juga harus  memilih metode mana yang mesti anda gunakan dalam mendepani masalah yang timbul serta mengelakkan tindakan yang tidak sepatutnya anda lakukan.


  • Memusuhi Masalah:

    Ini yang biasa terjadi saat tekanan datang menerpa secara tiba-tiba. Anda memilih untuk melawan takdir, memberontak, mengamuk dan marah atas apa yang berlaku. Anda bukan sahaja memusuhi masalah malah boleh membawa kepada memusuhi punca dan penyebab timbul masalah. Mungkin ia berpunca dari sahabat karib, ahli keluarga, pasangan, pesaing, suasana, kerjaya dan sebagainya. Apa yang paling ditakuti adalah memusuhi Pencipta masalah.. Nauzubillahi min zalik.

    Kesan daripada memusuhi masalah akan menyebabkan tekanan, kekecewaan, putus asa, sakit jiwa, sakit mental, pesimis dan pelbagai lagi penyakit rohani dan jasmani.

  • Bersahabat Dengan Masalah:

    Mengenali dan memahami masalah yang timbul. Cara ini akan membantu anda membuat keputusan terbaik dalam menangani permasalahan. Bahkan dengan cara ini kita mungkin dapat mendalami akar dan punca sebenar masalah sekaligus mendepaninya dengan betul. Mungkin kita akan jumpa cara penyelesaiannya atau mungkin kita dapati ia tidak mampu diselesaikan.

    Walaubagaimanapun masalah tetap masalah, ia harus ditangai dan diselesaikan bukan dibiarkan tanpa tindakan. Anda yang memilih untuk hidup bebas dari dibelenggu masalah atau hidup dalam masalah. Ataupun anda mahu menganggap masalah tersebut adalah sebahagian daripada hidup anda? Jika begitu tanggapan anda, mungkin anda sendiri yang bermasalah sebenarnya.

  • Menghelah Masalah:

    Ini adalah cara menghadapi masalah dengan tenang, menangani dengan tipu daya dan kelicikan. Walaupun ia memakan masa tetapi cara ini juga berkesan.

    Sebagai contoh, anda menginginkan satu organisasi yang tersusun dan bersistematik, ahli yang memberi komitmen serta kesepatakan dalam mencapai matlamat. Namun malangnya ia sukar ditangani kerana masalah-masalah yang wujud telah lama membarah di dalam organisasi. Anggota organisasi pun tidak mahu menyelesaikan punca permasalahan. Sebahagaian orang mengambil tindakan keluar dari organisasi tersebut, manakala anda mahu tetap dan memperbaiki apa yang patut. Anda melihat penyelesaiannya adalah dengan cara menguasai organisasi. Anda bersabar dan berusaha keras meyakinkan setiap individu bahawa anda berkelayakan untuk memimpin. Akhirnya apabila dilantik menjadi ketua, segala permasalahan dapat anda tangani dengan mudah. Ini bukan bererti anda harus menagih jawatan, tetapi anda menunjukkan komitmen yang jitu sehingga orang percaya bahawa anda adalah orangnya.

    Ataupun mungkin hasrat anda untuk mendirikan masjid semasa belajar terhalang oleh kedua ibu bapa kerana beranggapan anda masih tidak layak. Jadi anda harus bersabar dan menunjukkan komitmen dalam keluarga, mencapai prestasi akademik yang membanggakan di samping terus berdoa kepada Allah. Boleh jadi dengan tindakan anda ini ibu bapa terbuka hati membenarkan anda berkahwin semasa belajar.

    Cara ini kelihatan seolah-olah anda menerima keadaan dan masalah tersebut, tetapi sebenarnya anda tidak mahu mengalah dan mempunyai helah disebalik segala tindakan anda. Tetapi tidak semua masalah boleh ditangani dengan cara ini.

  • Mengharungi Masalah:

    Anda tidak peduli masalah yang melanda, anda tetap merempuh dan mengharunginya. Anda menggunakan segala kekuatan dan tenaga tetapi sedarkah anda bahawa anda sebenarnya tidak menyelesaikan masalah tetapi mengharung masalah? Dalam situasi ini anda mungkin berjaya, bahkan anda mungkin tewas apabila masalah tersebut mula membesar dan bergelombang. Oleh kerana tidak dapat mengawal dan menyelesaikannya, akhirnya anda karam di dalam masalah yang sudah melaut.

  • Berdamai Dengan Masalah dan Mencari Jalan Pintas:

    Dalam beberapa situasi mungkin anda harus mengalah dan bekorban. Namun jika anda tidak mahu berputus asa, anda harus mencari jalan pintas untuk menyelesaikan masalah tersebut. Mungkin di sana ada lorong-lorong lain yang boleh anda lalui untuk sampai ke destinasi. Jadi jangan berhenti berfikir.

  • Menambah Masalah:

    Tidak sedikit orang yang menghadapi dan menangani masalah dengan menambah masalah. Natijahnya masalah utama tiada penyelesaian timbul pula masalah lain.

    Sebagai contoh, anda tidak puas hati dengan pasangan anda. Sebagai penyelesaian, anda berpacaran dengan rakan sekerja yang juga sudah berkahwin. Akhirnya anda disimbah asid sama ada oleh pasangan sendiri atau pasangan kekasih gelap (^_^) hehe ~ realiti masyarakat hari ini.

  • Melarikan Diri Dari Masalah:

    Ini adalah sikap tidak bertanggungjawab dan penakut. Sejauh mana anda lari pun, masalah tidak akan selesai malah terus memburu dan menghantui hidup anda. Boleh jadi anda akan menemui masalah yang sama berulang kali sehingga anda tidak tahu ke mana lagi harus melarikan diri.

  • Masalah Lari Dari Anda?

    Ha? Macam mana tu? Boleh ke kita hidup tanpa masalah? Entah la.. Saya pun tak terfikir.. Sedang di akhirat nanti kita akan menghadapi masalah berdepan dengan pengadilan Tuhan, apatah lagi di dunia ini yang dicipta untuk kita menangani masalah manusia iaitu sebagai khalifah.
Kesimpulannya, masalah adalah untuk diselesaikan. Cara penyelesaian pula adalah bergantung kepada masalah yang dihadapi. Apa yang saya beri di atas bukanlah boleh dipakai dalam semua situasi, ia cuma sebagai panduan kepada anda-anda dan saya yang sentiasa berdepan dengan masalah hidup. Tindakan kita mencerminkan siapa kita yang sebenarnya.

Masalah adalah sebahagian daripada hidup bukannya hidup ini sebahagian dari masalah.

Kembali Kepada Pencipta Masalah


Setelah berusaha mendepani dan menyelesaikan masalah, bertawakkallah kepada Pencipta masalah. Dia mencipta segala masalah dan padaNya juga ada jalan penyelesaian.  Jadi setiap perkara itu ada solusinya sepertimana penyakit ada ubatnya kecuali mati. 

قل لن يصيبنا إلا ما كتب الله لنا هو مولانا وعلى الله فليتوكل المؤمنون 
At-Taubah:51

Selain itu, pandanglah masalah dengan pandangan positif. Tidaklah Allah mencipta sesuatu perkara itu dengan tujuan yang sia-sia. Boleh jadi ia sebagai kafarah dosa, mendidik jiwa, menegur kesilapan lalu, menjadikan kita lebih kuat dan lebih baik dari sebelumnya, mematangkan fikiran atau sebagai wasilah kita menjadi lebih dekat denganNya..

وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
البقرة: 216


So apa kaitan semua ni dengan cerita J-Qaf saya tu? Cerita di atas adalah cerita bagaimana saya berdepan dengan masalah yang saya hadapi. Sekadar perkongsian (^_^)v..

Apa yang penting di dalam hidup ini, kita jangan sesekali berputus asa dari rahmat Allah s.w.t. Hanya orang-orang kafir sahaja yang berputus asa dari rahmatNya. Dia Maha Memberi, mintalah kepadaNya. Meminta-minta kepada makhluk mereka tak mampu memberi apa yang anda mahukan.

Sekadar ini sahaja perkongsian untuk hari ini. Jumpa lagi di entry akan datang..

wabillahi taufiq wal hidayah..
Posted on by QurrataQalbiey | No comments

0 comments:

Post a Comment