Wednesday 18 January 2012

IMPLEMENTASI SINERGI (SUNNATULLAH + TAQWA = ULAMA’)



Sudah hampir sebulan artikel ini tidak dipublish di laman persatuan yang meminta saya menulis. Exam pun dah lama tamat, so untuk mengelakkan ia menjadi lapuk dan tidak bermanfaat, saya mengambil keputusan untuk meng'upload'nya secepat mungkin memandangkan blog saya pun dah mula bersawang. Semoga mendapat manfaat..


Ada sedikit pembaikian daripada text asal:

28 Dis 2011 menerima satu tugasan dari seorang teman di bumi Jordan, beliau meminta daripada saya satu artikel untuk dikongsi buat tatapan sahabat-sahabat di sana. Pada mulanya beliau meminta izin untuk mengambil salah satu tulisan saya di blog, tetapi saya menegah. Bagaimana tulisan yang sebegitu harus memenuhi ruang di laman PRISMA? Oh tidak sama sekali.

Saya meminta cadangan tajuk dan isu yang ingin diketengahkan, isu couple – ia dah terlalu biasa sampai tak tahu macam mana harus menulis artikel yang punya kuasa luar biasa, ‘ibrahnya tetap ditinggal di laman-laman yang kian bersawang, isu hutang – ha? Berapa ramai orang berhutang dengan Exco Ekonomi dan Keusahawanan?, isu.. mungkin sahabat-sahabat di sana sibuk menelaah matapelajaran bagi menghadapi peperiksaan, jadi isu-isu yang hangat mungkin sudah hilang kehangatannya.

Akhirnya beliau mencadangkan satu artikel yang berkaitan dengan tips-tips study dan cara pembelajaran yang betul. Nice idea, tapi agak kurang berkesan memandangkan kalian akan menghadapi peperiksaan pada minggu hadapan bahkan ramai yang telah menjalaninya pada minggu ini. Saya agak kebingungan, hati turut bermonolog “ada ke orang nak baca artikel time-time exam ni? Baca muka buku mungkin ada :) ..”

Sebagai solusinya, saya memilih untuk menulis satu artikel sebagai muhasabah selepas kalian menjalani kehidupan sebagai penuntut ilmu tidak kira sama ada ilmu dunia mahupun akhirat. Oleh kerana namanya ilmu maka semua ilmu dunia dan akhirat itu kembali kepada pencipta ilmu. Dia pemilik semua jenis ilmu, Usuluddin, Syariah, Sains, Teknologi, Psikologi, Dentist, Medic, Ekonomi dan semua la, semua tak tersebut di sini.

Semoga ia menjadi muhasabah kepada kita semua setelah menduduki peperiksaan dan berjaya di medan ilmu.

****

Satu hari di Qism Usuluddin..

Saya: Doc, macam mana saya boleh berjaya seperti doc? Apa rahsia doc dalam menuntut ilmu dan bagaimana doc boleh berjaya dalam phd? Adakah doc menghafal banyak hadis?

Dr. Khulud: Iman dan taqwa. Kamu perlu beriman kepadaNya.

Hati saya tertunduk mendengar jawapan tersebut. Itu sahaja jawapan yang diberikan kepada saya. Tentunya saya mengakui itulah jawapan sebenar untuk berjaya dan mendapatkan ilmuNya.

Dr. Khulud merupakan satu-satunya Doktor muslimah di Qism Usuluddin Universiti Al al-Bayt, beliau merupakan lulusan Phd yang mana hanya segelintir sahaja pensyarah yang memilikinya. Saya sangat kagum dengan susuk itu. Semoga Allah memberkati hayatnya.

****

MENELADANI WAHYU


Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 282:

(#qà)¨?$#ur ©!$# ( ãNà6ßJÏk=yèãƒur ª!$# 3 ª!$#ur Èe@à6Î/ >äóÓx« ÒOŠÎ=tæ ÇËÑËÈ  

Maksudnya: “Bertaqwalah kepada Allah, Allah memberikan pengajaran kepadamu dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu.”
                                                                                                                        (Al-Baqarah: 282)

Bagaimana kita mahu mentafsir ayat ini?

Imam al-Qurtuby ketika mentafsirkan ayat ini menyatakan: ia adalah janji Allah, sesiapa yang bertaqwa kepadaNya, Dia akan mengajar atau memberinya ilmu, iaitu dengan menjadikan hatinya bercahaya dan mampu memahami apa yang dilontarkan kepadanya.

Adapun Ibun Katsir menyebut: اتقوا الله iaitu takut kepada Allah, mendekatiNya, mengikut perintahNya dan meninggalkan tegahanNya.  ويعلمكم الله  iaitu seperti firmanNya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah nescaya dia akan memberikan ‘furqan’ (kemampuan membedakan antara haq dan batil) kepadamu.” Surah al-Anfal: 29.

Sebahagian ulama’ lain seperti Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim dan Ibnu ‘Uthaimin menjelaskan bahawa taqwa bukanlah sebab ilmu diajarkan kepada makhluk, bahkan Allah s.w.t juga mengurniakan ilmu tanpa ketaqwaan hambaNya. Oleh itu mereka menyatakan bahawa taqwa dan ilmu saling berkait antara satu sama lain, ilmu akan menghasilkan taqwa dan taqwa pula akan menambahkan ilmu.

Malangnya terdapat sebahagian manusia yang mengambil iktibar dari ayat ini dengan mengetepikan sunnatullah dalam menperolehi ilmu, mereka berpendapat hanya dengan ketaqwaan sahaja Allah akan mengurniakan ilmu. Jadi mereka tidak perlu bersusah payah menuntut ilmu, membazirkan masa dan wang ke arah mendapatkannya, cukuplah beribadah kepada Allah dan bertaqwa, nescaya Allah akan mengajarkan ilmuNya. Kepada golongan ini kita lontarkan soalan, bagaimana kamu memahami makna taqwa tanpa mempelajarinya?

IMPAK MAKSIMA

Sebagaimana yang telah disebutkan oleh Imam Qurtuby, dengan ketaqwaan seorang hamba kepada penciptaNya, Allah s.w.t akan mengurniakannya hati yang terang dan bercahaya, mudah baginya menerima dan memahami segala jenis ilmu yang dipelajari. Begitu juga Allah akan mengurniakan al-furqan kepada hamba-hambaNya yang bertaqwa. Al-furqan diertikan sebagai kemampuan membezakan antara kebenaran dan kebatilan.

Apa itu taqwa? Taqwa seperti mana yang dimaksudkan oleh para ulama’ ialah melaksanakan perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Di sini saya sertakan beberapa pandangan para Sahabat dan ulama’ berkaitan takrif taqwa.

Saidina Ali r.a memaknakan taqwa sebagai takut kepada Allah, melaksanakan apa yang diturunkan (al-Quran), berpada-pada dengan yang sedikit dan bersedia menghadapi hari akhirat.

Abu Hurairah r.a apabila ditanya tentang makna taqwa beliau mengertikannya sebagai menjauhi segala yang haram sepertimana pertanyaannya kepada orang yang bertanya: adakah engkau pernah melalui jalan berduri? Dia menjawab: ya. Abu Hurairah: jadi apa yang engkau lakukan? Dia menjawab: jika aku melihat duri aku menjauhinya atau mengelakkannya. Abu Hurairah: begitulah taqwa.

Umar bin Abd Aziz mendifinasikan taqwa seperti berikut: taqwa itu bukanlah dengan berpuasa di siang hari, bukan juga bangun di tengah malam, akan tetapi bertaqwa kepada Allah ialah meninggalkan apa yang haram serta melaksanakan segala kewajipan.

Maka jelaslah di sini bahawa makna taqwa adalah melaksanakan perintah Allah s.w.t dan menjauhi laranganNya. Lalu bagaimanakah taqwa mampu memberi impak kepada seseorang yang menuntut ilmu?

Ingatkah kalian akan pengaduan Imam as-Syafie kepada gurunya ketika mana beliau tidak mampu menghafal ilmu yang dipelajari? Guru Imam as-Syafie berkata: العلم نور ونور الله لا يهدى  لعاصى

Oleh itu taqwa memainkan peranan penting dalam menuntut ilmu. Tanpa taqwa amat sukar seorang alim itu menjadi ulama’ seperti Imam as-Syafie dan yang seangkatan dengannya. Di sini ingin saya ingatkan, jangan kita menyempitkan pandangan bahawa hanya dosa besar sahaja yang perlu dijauhi tetapi sebenarnya dosa-dosa kecil juga memberi kesan kepada hati, dari sekecil titik hitam bisa menutupi keseluruhan hati. Jadi apabila hati sudah tertutup bagaimana cahaya mampu menembusinya?

HIDUP DENGAN SUNNATULLAH

Habis tu bagaimana pula orang-orang yang tidak bertaqwa malah tidak beriman kepada Allah mampu memiliki ilmu? Sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibnu ‘Uthaimin, taqwa bukanlah asbab seseorang mendapatkan ilmu, ilmu juga boleh diperolehi dengan tidak ada ketaqwaan.

Dengan taqwa Allah akan menambahkan ilmu kepadanya, dan dengan ilmu dia bisa menjadi orang yang bertaqwa.

Oleh yang demikian, taqwa bukanlah asbab utama datangnya ilmu tetapi ia menjadi punca ilmu itu mudah difahami, dihafal dan diamalkan sebagaimana yang telah dijanjikan. Dengan ini kita tidak boleh menafikan sunnatullah dalam mendapatkan ilmu iaitu dengan berusaha, belajar dan mencarinya. Usaha yang disertai dengan ketaqwaan akan mencerahkan hati, memudahkan hafalan dan menguatkan ingatan. Hati yang cerah inilah mampu membezakan antara kebenaran dan kebatilan.

Maka tertolaklah pandangan sebahagian manusia yang tidak mahu bersibuk-sibuk mencari ilmu dengan menjadikan ayat 282 surah Al-Baqarah ini sebagai alasan. Bagi mereka cukup sekadar bertaqwa nescaya mereka akan memperolehi ilmu secara langsung dari Allah s.w.t. Semoga kita terhindar dari fahaman seperti ini.

Kesimpulannya taqwa dan sunnatullah mampu mengubat penyakit manusia yang merasakan dirinya kurang bijak seperti Albert Einstein (silalah cari contoh lain selain AE). Walaupun Albert Einstein bukan seorang muslim tetapi beliau memiliki kecerdasan otak yang sangat tinggi, ini adalah satu kurniaan Allah kepadanya. Sunnatullah yang diamalkannya pula menjadikan beliau semakin cerdas walaupun tanpa keimanan. Maka seharusnya seorang muslim yang memiliki ilmu itu bersyukur dengan memperbaiki ketaqwaannya kepada Allah s.w.t.

MANUSIA TANPA DERIA RASA

Bagaimana hidup seseorang yang tidak memiliki deria rasa? Makan gula-gula tidak terasa manisnya, tertelan lada tidak terasa pedas dan panas, makan peria boleh jadi seperti makan nasi. Apa rasa peria? Peria tidak wujud di Jordan jadi adakah kalian masih ingat rasa peria?

Begitulah seorang yang berilmu apabila tidak bertaqwa, mereka umpama manusia yang hidup tanpa deria rasa. Segala kebaikan dan kejahatan itu ditelan sama rata dan sama rasa. Mempelajari nikmat dan azab Allah tidak mampu memberi kesan kepada hatinya. Maksiat dan dosa tetap dilakukan malah diamalkan secara terang-terangan. Perkara halal diharamkan, yang haram dihalalkan. Kebenaran dibatilkan dan kebatilan ditegakkan.

Tidakkah anda merasa kasihan kepada mereka? Tidak ada nikmat makan tanpa deria walaupun dengan sepenuh selera. Tidak ada nikmatnya hidup di dunia jika di akhirat bakal diheret ke neraka.

Jadi adakah ilmu itu mampu melahirkan taqwa? 


Ya ilmu mampu melahirkan taqwa tetapi tidak semua orang berilmu itu bertaqwa dan takutkan Allah. Seperti mana kata-kata seorang Syeikhul Islam (saya tidak pasti siapa yang dimaksudkan, sama ada Ibnu Taimiyyah, Ibnu Hajar, Izz Abdul Salam atau selain mereka yang digelarkan sebagai Syeikh Islam) merujuk kepada firman Allah dalam surah Fathir ayat 28: Ayat tersebut menunjukkan bahawa setiap yang takutkan Allah adalah seorang yang alim akan tetapi ayat itu tidak menunjukkan semua orang alim itu takutkan Allah.

KOREKSI & IMPLEMENTASI SINERGI

Apakah yang telah kita hasilkan daripada ilmu yang dipelajari selama dan sepanjang berada di semester ini dan semester lepas? Adakah dengan ilmu tersebut kita telah menjadi seorang yang bertaqwa atau hanya sekadar seorang siswazah sahaja? Adakah setelah mempelajari pelbagai jenis hukum kita mampu memperbaiki ibadah kepadaNya? Adakah setelah menghayati ilmu Allah telah berjaya menghindarkan kita dari melakukan maksiat dan dosa? Ataukah segala ilmu yang dipelajari hanya menambahkan kufur kita kepada Pencipta? Wal’iyazabillah.

Sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah,

Jadilah  ahli Syariah yang menghidupkan hukum Allah.

Jadilah  pakar Usuluddin yang menghayati Al-Quran dan Sunnah Rasulullah.

Jadilah pakar bahasa yang memahami dan mendalami seni Kalam Allah.

Jadilah doktor pakar yang mengagungkan ciptaan Allah.

Jadilah ahli ekonomi yang memperjuangkan ekonomi Islam.

Tiadalah orang-orang kafir itu mengutamakan Islam di dalam kehidupannya. Tiadalah orang-orang munafiq itu memperjuangkan Islam di dunia. Hanya seorang muslim yang beriman lagi bertaqwa sahaja yang menghidupkan Islam di dalam diri dan dunianya.

Maka tidak terhasil ilmu tanpa usaha dan tiada petunjuk tanpa taqwa dalam jiwa. Gabungan antara ketaqwaan dan perlaksanaan sunnatullah akan melahirkan ulama’ dan cendikiawan yang memperjuangkan agama Islam di mana pun mereka berada.

Moga saya dan kalian mendapat ketaqwaan dari ilmu yang ditimba. Wabillahi taufiq wal hidayah.

Ditulis oleh,
Siti Nur Aisyah Binti Mohd Juki,
Mantan Timbalan Setiausaha Agung PRISMA 2010/2011.
29/12/2011, Malaysia.
Posted on by QurrataQalbiey | 2 comments

2 comments:

  1. insyaAllah...sama2 doakn smoga xjd musuh Allah yg berijazahkn syariah!!:)

    ReplyDelete
  2. nauzubillahi min zalik..

    ya Allah lindungilah kami daripada menjadi musuh agamaMu. moga dengan ilmu yang Engkau kurniakan menambahkan lagi ketaqwaan kami padaMu & menjadikan kami di kalangan orang2 yang memperjuangkan agamaMu.. amin

    ReplyDelete