Friday 21 October 2011

Merenung Nikmat Iman (Syukur & Sabar Atas Segala Ketetapan)



قال الله تعالى : قل لن يصيبنا إلا ما كتب الله لنا هو مولانا وعلى الله فليتوكل المؤمنون
التوبة 51

Kehidupan ini tidak pernah sunyi dari ujian, cubaan dan permasalahan. Malah hakikatnya hidup di dunia ini sememangnya adalah satu ujian buat manusia bagi menentukan siapa sebenarnya yang tahan diuji serta siapa yang tidak. Bagi yang mampu bertahan dialah juara dan bakal dianugerahkan satu nikmat yang berkekalan iaitu syurga. Adapun manusia yang gagal kerana sentiasa mengikut hawa nafsu dan bisikan kejahatan, tiada kenikmatan yang akan dikecapi tetapi balasan atas amal perbuatannya melainkan dengan rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t yang Maha Pengampun. 


Di pagi Jumaat ini saya  sajikan satu ayat buat renungan diri dan semua. Satu ayat yang sering kita lewati saat menuturkan kalam Allah s.w.t tetapi jarang-jarang kita menghayatinya. Satu ayat yang mungkin kita ingat time ditimpa musibah sahaja. Ayat tersebut adalah dari surah At-Taubah, bilangan yang ke 51. Sahabat-sahabat boleh rujuk tafsir bahasa melayu untuk memahami makna ayat tersebut.

Sebenarnya saya ingin mengupas ayat ini menurut pandangan ulama' tafsir tetapi waktu ini saya tidak memiliki rujukan yang sesuai memandangkan kitab-kitab masih dalam perjalanan ke Malaysia dan dijangka akan sampai 3 bulan lagi. Sekiranya berpeluang, insyaAllah kita akan sama-sama merungkainya menurut pandangan mufassirin.

Ayat ini sebenarnya mengkoreksi kembali keimanan kita terhadap rukun iman ke 6 iaitu beriman kepada qada' dan qadar Allah s.w.t. Tidak ada sesuatu yang menimpa manusia melainkan ia telah ditetapkan oleh Allah s.w.t semenjak bumi ini belum diciptakan lagi. Beriman kepada ketetapan Allah ini akan menjadikan kita mukmin yang sentiasa bersyukur saat menerima nikmat dan ditimpa musibah. 

Rasulullah s.a.w pernah bersabda maksudnya: 
“Aku kagum terhadap urusan orang yang beriman, kerana seluruh urusannya merupakan kebaikan baginya. Jika mendapat KESENANGAN ia bersyukur, maka SYUKUR adalah kebaikan baginya. Jika ditimpa KESULITAN ia bersabar, maka SABAR itu merupakan kebaikan baginya. Hal seperti ini tidak akan didapati pada seseorang kecuali orang yang beriman.[HR Muslim]

Inilah kekuatan yang dimiliki oleh seorang mukmin yang tidak dimiliki oleh seorang yang hanya bergelar muslim. Kekuatan syukur atas segala nikmat dan ujian daripada Allah s.w.t.  Apakah nikmat yang kita kecapi apabila menjadi seorang yang sentiasa bersyukur dan bersabar? 

  1. Kebaikan. Sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis di atas, segala yang kita kerjakan adalah baik untuk kita. Segala musibah juga adalah baik apabila kita memandang pada satu sudut yang lain dengan merungkai hikmah atas segala yang telah terjadi.

    Lupakah kita pada satu ayat Al-Quran yang mengingatkan, mungkin apa yang kita suka itu tidak baik untuk kita dan mungkin juga apa yang kita benci adalah baik untuk kita. Sekalipun kisah sebenar di sebalik ayat ini adalah berkaitan peperangan, tetapi intipatinya sangat luas untuk kita sama-sama renung dan ambil pengajaran.

  2. Optimis. Kita akan menjadi manusia yang optimis dan sentiasa bersemangat untuk menghadapi hari-hari mendatang. Bukan mudah untuk menjadi orang yang sentiasa berbaik sangka kepada Allah s.w.t, akan tetapi dengan bersyukur dan bersabar kita akan memiliki sifat ini dengan mudah.

    Senang ke nak bersyukur dan bersabar? Ya, bukan senang. Akan tetapi jika kita adalah orang yang beriman ia sangat mudah sekali. Hadis di atas telah menegaskan perkara ini, hanya orang-orang yang beriman sahaja yang memiliki sifat syukur dan sabar. Beriman dengan qada' dan qadar Allah s.w.t.

  3. Sihat. Kesihatan tubuh badan juga seringkali dikaitkan dengan kesihatan dalaman, iaitu kesihatan jiwa dan rohani. Apabila kita mengalami kemurungan ataupun stress, adakah orang di sekeliling kita akan melihat kita sihat? Sudah tentu tidak. Ekspresi wajah kita boleh menggambarkan segalanya melainkan kita mampu mengawal emosi, tekanan dan kemurungan yang kita alami.

    Orang yang benar-benar beriman kepada Allah s.w.t tidak akan dihinggapi penyakit jiwa. Perkara ini telah pun disedari dan diakui oleh ramai pakar perubatan.

    Dr. Brail mengatakan: "Seorang yang berpegang teguh dengan agama tidak akan menghidap penyakit jiwa."

    Seorang ahli ilmu jiwa bernama Caringi juga telah mengatakan: "Doktor-doktor ilmu jiwa mengetahui bahawa iman yang kuat dan pegangan yang teguh kepada agama sudah cukup untuk menghilangkan perasaan keluh kesah, ketegangan saraf dan dapat menyembuhkan penyakit."

    Ramai manusia yang mengalami kemurungan, tekanan perasaan dan sering bersikap negatif mengalami masalah jiwa yang akhirnya terpaksa menghuni hospital sakit jiwa kerana tidak dirawat dengan mengembalikan iman kepada Allah s.w.t dan qada' qadarNya.

  4. Pahala, keampunan dan nikmat Syurga. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 155-157 maksudnya:
    155. Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

    156. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa  sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

    157. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan serta rahmatNya; dari Tuhan dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk hidayahNya

    Demikianlah janji Allah kepada orang yang bersabar atas segala ujian. Seandainya kita bersabar Allah akan mengurniakan rahmatNya yang berupa keampunan atas segala dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Kerana itulah ulama' mengatakan ujian dan musibah yang menimpa kita adalah satu kafarah atau penebus dosa kita selama ini sebagaimana mafhum ayat di atas.

    Apapun sebagai seorang yang beriman, apabila dibentangkan dengan ayat-ayat Allah yang berupa ganjaran, nikmat, pahala dan keampunan seharusnya kita berlumba-lumba untuk meraihnya serta merasa gembira lebih dari kegembiraan kita terhadap nikmat dunia yang hanya seketika .

Empat perkara ini hanyalah sebahagian daripada kelebihan dan nikmat yang dimiliki oleh orang-orang yang bersyukur dan bersabar atas segala musibah. Pelbagai lagi hikmah dan kebaikan yang kita akan kecapi apabila bersifat dengan kedua sifat mulia ini.

Semoga ayat di atas menjadi  penguat jiwa saat ditimpa musibah dan menguatkan lagi keimanan kita kepada Allah s.w.t. Tiada sesuatu kebaikan dan kejahatan yang menimpa kita melainkan ia telah ditetapkan oleh Allah  s.w.t sejak azali. Allah selaku pencipta Maha Tahu apa yang terbaik untuk kita. Kita hanyalah hamba yang sentiasa perlu berusaha berbuat baik dan melakukan yang terbaik di dalam kehidupan ini. Kita juga harus berusaha melakukan kebaikan dan meninggalkan segala larangan untuk mendapat petunjuk dan hidayah dariNya.

إياك نعبد وإياك نستعين


merasa senang atas kesenangan itu mudah,
merasa sukar atas kesukaran itu mudah,
tetapi merasa syukur atas nikmat dan sabar atas musibah amat sukar.

Posted on by QurrataQalbiey | No comments

0 comments:

Post a Comment